PM arah menteri jumpa wakil rider Grab

PM arah menteri jumpa wakil rider Grab

WAKIL persatuan e-hailing dan p-hailing bakal mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan dan Menteri Sumber Manusia bagi membincangkan kemelut yang melanda mereka.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Khaizulnizam Mohamad Zuldin berkata, perjumpaan dua wakil persatuan itu dengan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong akan berlangsung pada Isnin ini di Putrajaya.

“Sementara perjumpaan wakil e-hailing dan p-hailing dengan Menteri Sumber Manusia (Datuk Seri M Saravanan) akan diatur dalam waktu terdekat,” katanya kepada media selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil daripada Grab Driver Malaysia Association dan Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia di Restoran Pelita, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Khaizulnizam, pertemuan beliau bersama wakil kedua-dua persatuan hari ini adalah susulan keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai isu yang dihadapi persatuan itu.

“Saya telah diarahkan oleh Perdana Menteri untuk turun berjumpa dengan penunggang p-hailing dan pemandu e-hailing untuk mendengar sendiri masalah yang dihadapi mereka.

“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri amat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh penunggang p-hailing dan pemandu e-hailing,” katanya.

Jelasnya, kerajaan sentiasa mendengar masalah yang dihadapi oleh setiap ahli Keluarga Malaysia.

Sementara itu Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia Abdul Hakim Abdul Rani berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan caj penghantaran yang dipotong oleh syarikat penyedia perkhidmatan.

Timbalan Presiden Grab Driver Malaysia Association Mohd Azril Ahmat pula berharap wakil kerajaan dapat mendengar keluhan mereka sebelum mengambil apa-apa keputusan. -Malaysiapost

Komen