PN mungkin tarik diri daripada kerajaan

PN mungkin tarik diri daripada kerajaan

PERIKATAN Nasional (PN) berkemungkinan menarik diri daripada kerajaan sebagai protes terhadap keengganan Perdana Menteri untuk memenuhi perjanjian bagi melantik Timbalan Perdana Menteri daripada Bersatu.

Kekecewaan dalam kepimpinan PN dilaporkan mencapai titik kemuncak selepas pertemuan dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijadualkan berlangsung jam 2.30 petang semalam tiba-tiba dibatalkan malam sebelumnya oleh Pejabat Perdana Menteri.

Menurut laporan The Star memetik sumber dari Bersatu, berkata pertemuan itu akan menjadi usaha terakhir untuk menekan Perdana Menteri berhubung memorandum perjanjian (MOA) antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri sejurus sebelum penyerahan jawatan Perdana Menteri pada Ogos tahun lalu.

Keputusan menghantar delegasi pemimpin tertinggi untuk bertemu Perdana Menteri dibuat pada mesyuarat PN minggu lalu.

Delegasi itu membabitkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin and Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada Bersatu selain Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar daripada PAS.

Seorang pemimpin PN dari Sabah berkata, pilihan untuk menarik diri telah dibincangkan pada mesyuarat berkenaan tetapi ia akan menjadi pilihan terakhir jika Perdana Menteri – terus enggan memenuhi MOA itu.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung PN, telah mengeluarkan kenyataan ringkas selepas mesyuarat gabungan itu, turut menyatakan kekecewaan kerana tiada keazaman dan komitmen Perdana Menteri untuk memenuhi syarat perjanjian.

Bersatu menaruh harapan tinggi kerana jawatan Timbalan Perdana Menteri telah dijanjikan kepada mereka.

Menerusi MOA terbabit, Ismail Sabri perlu berunding dengan kepimpinan Bersatu sebelum membubarkan Parlimen dan Muhyiddin dikatakan kecewa kerana terpaksa mengetahui perkara itu menerusi laporan media.

Difahamkan, Majlis Tertinggi Bersatu yang bermesyuarat pada malam Selasa lalu, secara amnya bersetuju untuk menarik diri sekiranya Perdana Menteri tidak dapat dipujuk tetapi keputusan muktamad akan dibuat oleh Majlis Tertinggi PN.

Sementara itu, pemimpin Bersatu terkejut apabila Mohamed Azmin yang juga Ahli Majlis Tertinggi, tiba-tiba keluar daripada kumpulan WhatsApp mereka selepas mesyuarat itu.

Mohamed Azmin, bagaimanapun enggan menjelaskan kecuali berkata, beliau berpegang pada apa yang dikatakan bulan lalu tentang terus komited, kerajaan berada di landasan yang betul dan beliau menyokong kepimpinan.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberitahu bahawa beliau tidak begitu ambil peduli tentang isu jawatanTimbalan Perdana Menteri berbanding fakta bahawa peruntukan pembangunan bertujuan membantu rakyat telah ‘ditahan’ daripada ahli politik Bersatu.

“Ini sangat tidak adil. Mereka cuba untuk menghalang pengaruh kita di lapangan tetapi ia merugikan rakyat,” kata Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan.

Keluhan lain melibatkan ‘pembersihan’ ahli politik Bersatu daripada GLC atau syarikat berkaitan kerajaan baru-baru ini.

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan baru-baru ini disingkirkan sebagai pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Difahamkan, Bersatu akan mengadakan mesyuarat biro politik untuk membincangkan langkah seterusnya. – Malaysiapost

Komen