PN tarik sokongan terhadap PM kalau betul anak jantan

PN tarik sokongan terhadap PM kalau betul anak jantan

VETERAN Umno mencabar Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sekali gus berhenti daripada terus membuat ugutan. 

Setiausaha Agung Veteran Umno Datuk Mustapha Yaakub berkata, PN yang kecewa terhadap tindakan Perdana Menteri yang tidak melayan kehendak mereka sepatutnya menekan butang untuk menarik sokongan sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

“Kalau benar anak jantan dan berprinsip mereka tidak perlu teragak-agak untuk menarik sokongan itu sekarang. 

“Tidak cukup PN merasa kecewa dengan PM Ismail Sabri yang tidak melayan tuntutan mereka untuk menggantikan Zuraida dan jawatan TPM dengan hanya mengugut untuk menarik sokongan sahaja,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Menjelaskan mengenainya, Mustapha berkata, rakyat telah bosan dengan cara politik pondan PN yang penakut dan hanya mampu membuat ugutan tapi tiada keberanian untuk bertindak. 

“Semasa PRN Melaka Muhyiddin pernah berkata dia boleh tekan butang. Tapi hingga sekarang butang belum ditekan. Malah BN yang menekan butang untuk memberi laluan kepada PRN Johor.

“Bertindaklah dan tariklah. Taktik ugut ini taktik budak sekolah rendah yang berkelahi dalam darjah,” katanya. 

Terdahulu, media melaporkan PN berkemungkinan menarik diri daripada kerajaan sebagai protes terhadap keengganan Perdana Menteri untuk memenuhi perjanjian bagi melantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) daripada Bersatu.

Ia susulan kepimpinan PN kecewa selepas pertemuan dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijadualkan berlangsung pada 2.30 petang semalam tiba-tiba dibatalkan malam sebelumnya oleh Pejabat Perdana Menteri. – Malaysiapost

Komen