PN tidak perlu ugut PM, tarik saja sokongan – Isham Jalil

PN tidak perlu ugut PM, tarik saja sokongan – Isham Jalil

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Isham Jalil mencabar Perikatan Nasional (PN) untuk menarik sokongan kepada kerajaan.

Beliau berkata, PN tidak perlu menggunakan cara mengugut Perdana Menteri sekiranya mahu bertindak demikian.

Katanya, jika tidak berpuas hati, PN tidak perlu gusar dan segera menarik sokongan sekali gus membolehkan Parlimen dibubarkan segera.

“Perikatan Nasional, tidak perlu ugut PM. Jika ingin tarik sokongan, tarik sahaja.

“Rakyat pun ingin mandat dikembalikan kepada mereka. Negara tidak boleh terus dijadikan tebusan oleh pelompat-pelompat parti dan ahli politik pengkhianat. Bubar Parlimen,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, media melaporkan PN berkemungkinan menarik diri daripada kerajaan sebagai protes terhadap keengganan Perdana Menteri untuk memenuhi perjanjian bagi melantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) daripada Bersatu.

Ia susulan kepimpinan PN kecewa selepas pertemuan dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijadualkan berlangsung pada 2.30 petang semalam tiba-tiba dibatalkan malam sebelumnya oleh Pejabat Perdana Menteri. – Malaysiapost

Komen