Raih emas keempat: PM ucap tahniah kepada Bonnie

Raih emas keempat: PM ucap tahniah kepada Bonnie

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mengucapkan tahniah kepada jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin yang meraih pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Pusat Pameran Nasional (NEC), awal pagi tadi.

Menerusi hantaran di Facebook, Ismail Sabri berkata, kejayaan Bonnie merangkul pingat emas keempat membanggakan negara.

“Syabas dan tahniah Super Bonnie sumbang emas keempat Malaysia.

“Atlet powerlifting kebanggaan negara Bonnie Bunyau Gustin membanggakan negara setelah memenangi pingat emas dengan melakukan angkatan seberat 210kg bagi kategori Lelaki Lightweight Akhir semasa #SukanKomanwel2022. Malaysia Boleh!,” katanya.

Terdahulu, Bonnie Bunyau Gustin menepati ramalan apabila memenangi pingat emas acara powerlifting kategori lightweight pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, hari ini.

Pencapaian tersebut sekali gus menambah pingat emas negara kepada empat, hanya kurang dua daripada enam yang disasarkan kontinjen negara.

Pada saingan final awal pagi tadi, Bonnie turut mencipta rekod temasya apabila mengumpul 154.6 mata selepas melakukan angkatan 210 kilogram (kg) pada sesi pertama, 216kg (kedua) dan 220kg (ketiga).

Ia menyaksikan atlet berusia 23 tahun itu mencipta sejarah muncul atlet pertama Malaysia, memenangi acara tersebut di temasya sukan berkenaan. – Malaysiapost

Komen