Shah Firdaus bukan lagi ‘buah putik’ – Azizulhasni

Shah Firdaus bukan lagi ‘buah putik’ – Azizulhasni

KEJAYAAN Muhammad Shah Firdaus Sahrom meraih gangsa di Sukan Komanwel di Birmingham baru-baru ini, menunjukkan pelumba berbasikal trek negara itu sudah beralih dari fasa ‘buah putik’ kepada fasa ‘buah yang masak ranum’.

Perkara itu dinyatakan pemenang pingat perak acara Keirin Sukan Olimpik 2020, Datuk Azizulhasni Awang.

Menurut Azizulhasni, semua sudah dapat melihat jelas kemampuan sebenar Muhammad Shah Firdaus di pentas antarabangsa dan percaya jika terus kekal mampan, beliau juga mampu mengegarkan pentas Olimpik Paris nanti.

Pencapaian itu juga katanya, memberi jawapan kepada ramai pihak yang sebelum ini tertanya-tanya adakah negara mempunyai pelumba pelapis dalam acara tersebut.

“Jadi semua persoalan sudah terjawab dan janganlah pula selepas ini diajukan soalan yang sama pula kepada Shah Firdaus.

“Proses untuk menghasilkan seseorang atlet berkualiti tinggi bertaraf antarabangsa bukan mudah. Bukan seperti menyediakan mi segera yang hanya perlu buka bungkusan, campak dalam periuk dan tunggu selama lima minit untuk masak, lepas tu angkat lalu makan.

“Akan tetapi ia seperti menanam durian musang king. Mempunyai proses yang amat rumit. Perlu dicari tanah yang sesuai untuk ditarah, penyemaian anak pokoknya perlu ikut jarak yang betul, penjagaan air dan baja yang sangat kritikal dan perlu menunggu beberapa tahun untuk pokok tersebut matang dan mengeluarkan buah.

“Disebabkan saya sentiasa berada di bawah ketiak masam Shah Firdaus, saya sendiri sentiasa menyaksikan suka duka perit getir yang terpaksa di lalui oleh beliau,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Tambah Azizulhasni, oleh kerana Muhammad Shah Firdaus berdaya tahan dan tabah dalam melalui proses tersebut, dia kini berada di tahap sekarang.

“Saya percaya jika setiap atlet mempunyai kesanggupan tinggi tersebut, mereka juga mampu mengorak langkah untuk pergi lebih jauh,” katanya lagi.

Azizulhasni turut berkongsi mengapa Muhammad Shah Firdaus membuat ciapan di media sosial beliau ‘Bronze in keirin but it feels like Gold’.

“Kenapakah beliau membuat ciapan sebegitu? Mungkin ramai tidak tahu yang lumba basikal trek antara sukan yang mempunyai level kompetitif sangat tinggi di Sukan Komanwel.

“Justeru untuk memenangi pingat bukanlah sesuatu perkara yang mudah, tambahan Shah Firdaus sendiri sebelum ini masih dalam proses pembikinan,” katanya. – Malaysiapost

Komen