Skuad Jejak Asnaf santuni 10 beradik yatim piatu

Skuad Jejak Asnaf santuni 10 beradik yatim piatu

SKUAD Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyantuni 10 beradik yatim piatu yang baru kehilangan ibu beberapa hari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata lebih menyedihkan bapa kepada 10 beradik itu meninggal dunia setahun yang lalu akibat serangan jantung.

Katanya, kini tanggungjawab keluarga itu dipikul anak sulung yang berusia 24 tahun, dikenali sebagai Danial.

“Akan tetapi sudah semestinya Adik Danial akan menghadapi kesukaran memandangkan beliau hanya bekerja sebagai pembantu jualan yang hanya meraih pendapatan yang tidak seberapa.

“Sementara keluarga ini masih mempunyai tujuh beradik yang masih belajar daripada peringkat sekolah sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

“Justeru itu, Adik Danial juga menyampaikan hasrat untuk memindahkan kesemua adik beradiknya ke rumah yang lebih kecil memandangkn kadar sewa rumah yang didiami mereka sekarang di luar kemampuan keluarga,” katanya di hantaran Facebook.

Idris berkata, simpati dengan nasib menimpa 10 beradik yatim piatu itu, MAIWP akan menyalurkan bantuan sara hidup dan membiayai kos sewa rumah.

Katanya, selain itu MAIWP akan memberi perhatian kepada bantuan pendidikan kepada adik-adik Danial yang masih belajar.

“Semoga 10 anak ini kuat dan tabah untuk meneruskan kehidupan tanpa adanya orang tua di sisi mereka,” katanya. – Malaysiapost

Komen