Tun M gesa rapatkan jurang miskin dan kaya

Tun M gesa rapatkan jurang miskin dan kaya

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bimbang isu jurang sosial antara yang kaya dan miskin di negara ini akan jadi lebih teruk jika tidak ditangani dengan bijak.

Ahli Parlimen Langkawi, itu berkata adalah lebih wajar usaha diambil untuk menangani isu berkenaan kerana ia dibimbangi ‘meletup’ sekali gus mencetuskan permusuhah yang lebih sukar ditangani.

Beliau berkata, sekiranya masyarakat ingin mengelak permusuhan yang ganas berlaku antara miskin dan kaya, jarak antara miskin dan kaya dari segi pendapatan hendaklah dikurangkan.

“Di Malaysia kita juga sedar ada perbezaan yang ketara antara yang miskin dengan yang kaya. Yang lebih bahaya ialah miskin dan kaya dikait dengan kaum.

“Demikian ramai yang miskin terdiri dari orang Melayu dan yang kaya dari orang Cina. Memang pun kedua-dua kaum tidak rapat dalam hubungan antara mereka,” katanya dalam tulisan di Facebook.

Dr Mahathir berkata, perasaan perkauman tidak disukai oleh para intelek, tetapi hakikatnya perasaan itu terdapat dalam semua kaum di Malaysia.

Malah katanya, ada pihak berpendapat isu itu tidak patut disuarakan kerana perbuatan itu kononnya seperti menggalak sentimen yang boleh membakar perasaan perkauman.

“Kemungkinan rusuhan antara kaum berlaku kerana dipisah juga oleh kemiskinan dan kekayaan antara mereka tidak boleh dipandang ringan.

“Adalah lebih baik jika awal-awal lagi sebelum jarak perpisahan menjadi lebih teruk, tindakan diambil untuk meredakan keadaan,” katanya.

Justeru, Dr Mahathir berkata, ‘affirmative action’ atau tindakan mengurangkan jarak perpecahan, perlu dilakukan lebih awal.

“Ya. Dasar Ekonomi Baru dikatakan gagal. Tetapi dalam bidang pelajaran ia berjaya kurangkan jarak antara kaum.

“Dalam bidang ekonomi, kelemahan DEB telah dikenal pasti. Pembetulan juga sudah dibuat. Dengan ini DEB akan mencapai kejayaan yang lebih baik,” katanya. – Malaysiapost

Komen