4 Adun keluar parti boleh teruskan tugas – KM Pulau Pinang

4 Adun keluar parti boleh teruskan tugas – KM Pulau Pinang

EMPAT Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan menyertai Perikatan Nasional (PN) masih boleh menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata tindakan lanjut berhubung kedudukan empat Adun berkenaan bergantung kepada keputusan Mahkamah Tinggi.

“Semestinya selagi keputusan tidak dibuat oleh Mahkamah Tinggi mereka masih Adun yang boleh melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Selain itu, mereka juga menerima faedah dan gaji seperti sedia kala,” katanya memetik Berita Harian.

Semalam, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengarahkan peguam cara kerajaan negeri menulis surat kepada Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk tarikh awal berhubung saman difailkan empat Adun berkenaan terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Speaker.

Empat Adun berkenaan adalah Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang).

Keempat-empat mereka sebelum ini memfailkan injunksi terhadap badan perundangan Pulau Pinang daripada meluluskan usul pengosongan kerusi masing-masing selepas mereka mengambil keputusan menyokong PN.

Kon Yeow ketika diminta mengulas mengenai cadangan memanggil sidang khas berhubung status kerusi DUN terbabit berkata, perkara itu boleh dilakukan namun pihaknya harus menunggu keputusan Mahkamah Tinggi.

Beliau turut berpendapat tiada keperluan meminda Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang kerana ia adalah undang-undang yang baik dan sah serta konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, soal sama ada akan diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak sepatutnya timbul selaras Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan PRK tidak perlu diadakan jika kekosongan wujud dalam tempoh dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum akan datang.

“Jadi kalau peruntukan ini diguna pakai maka tidak timbul (PRK) dan lebih baik untuk kita menunggu keputusan Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai apa tindakan yang akan diambil pada masa akan datang,” katanya.

Pada Rabu lalu, panel tujuh hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan Seksyen 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang dipinda pada 2012 memperuntukkan Adun hendaklah mengosongkan kerusinya sekiranya meletakkan jawatan, dipecat atau berhenti menjadi ahli parti setelah dipilih sebagai calon parti politik. – Malaysiapost

Komen