Dakwa Imam Mahdi muncul tahun ini punca tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah disiasat

Dakwa Imam Mahdi muncul tahun ini punca tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah disiasat

JABATAN Mufti Negeri Sembilan (JMNS) menyiasat tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah susulan kumpulan berkenaan mendakwa Imam Mahadi akan muncul pada Hari Arafah tahun ini

Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad, berkata dakwaan itu dimaklumkan oleh sebahagian pengikut tarekat berkenaan kepada JMNS selepas mula menyedari ajarannya bertentangan dengan hukum syarak.

“Pengikut berkenaan mendakwa pemimpinya Habib Shah Firdaus Habib Ahmad memaklumkan akan berlaku satu peristiwa besar pada Hari Arafah, baru-baru ini iaitu Imam Mahadi akan muncul di Makkah.

“Bagaimanapun, peristiwa besar yang didakwanya itu tidak berlaku membuatkan sebahagian pengikutnya hilang kepercayaan terhadapnya.

“Habib Shah Firdaus kemudian mendakwa peristiwa itu akan berlaku pula pada 10 Muharam iaitu pada Isnin ini pula,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sijil Pengesahan Arah Kiblat Bagi Surau Stesen Petronas Peringkat Negeri Sembilan, di Stesen Petronas Jalan Seremban-Tampin, semalam.

Mohd Yusof mengulas mengenai tindakan JMNS menutup pusat pengamalan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah, yang beroperasi di Lot 3263, Jalan Labu Batu 8, Kampung Jawa, Labu, sejak 3 Ogos lalu.

Menurutnya, ketika ini Habib Shah Firdaus berada di Makkah bersama lebih 100 pengikut tegarnya kerana menunaikan haji dan umrah.

“Menerusi siasatan kita, dimaklumkan pada peringkat awalnya iaitu pada Mac lalu, Habib Shah Firdaus bersama kira-kira 300 pengikutnya pergi ke Makkah untuk menunaikan umrah yang difahamkan kos ditaja oleh pihak tertentu.

“Ada kalangan pengikutnya pula dikatakan menjual tanah, kereta dan lain-lain untuk mendapatkan belanja bagi mengikut lelaki berkenaan menunaikan umrah di Makkah,” katanya.

Beliau berkata, ketika berada di Makkah, ada kalangan pengikutnya menyedari terdapat amalan yang bertentangan hukum syarak atau meragukan termasuk mendakwa Imam Mahdi akan muncul pada Hari Arafah.

Mohd Yusof berkata, berikutan daripada itu, pengikut terbabit bertindak pulang ke Malaysia dan membuat aduan kepada JMNS dan seterusnya siasatan dimulakan terhadap tarekat berkenaan.

“Terdapat juga amalan lain yang meragukan didakwa dilakukan iaitu melakukan tiga kali sujud pada rakaat terakhir solat dan mencium sejadah,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun lelaki berkenaan enggan pulang ke tanah air dan mendakwa ingin terus menetap di Tanah Suci.

Menurutnya, beberapa pengikutnya ingin pulang ke tanah air tetapi menghadapi kekangan dari segi kos perjalanan. – Malaysiapost

Kredit Foto: Kosmo Online

Komen