Hasil siasatan projek LCS diumum SPRM dalam masa terdekat – Azam Baki

Hasil siasatan projek LCS diumum SPRM dalam masa terdekat – Azam Baki

KEPUTUSAN hasil siasatan berhubung ketirisan yang berlaku membabitkan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang bernilai RM9 bilion, akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, memaklumkan pihaknya sudah di peringkat akhir siasatan berhubung skandal berkenaan dan kertas siasatan sudah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Buat masa ini, pihak saya masih lagi reserve (tidak mahu) untuk memberi apa-apa kenyataan. Saya akan maklum kemudian apabila bersedia membuat pengumuman.

“Saya sudah pernah memberi kenyataan sebelum ini (mengenai siasatan). Saya kena menjaga sensitiviti hal penyiasatan dan kerahsiaan kes ini kerana ia bukan sahaja membabitkan SPRM tapi juga Jabatan Peguam Negara dan sebagainya.

“Sebab itu, saya kena pastikan perkara ini diambil kira dahulu,” katanya selepas merasmikan Majlis Pertemuan Tahunan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca), di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Azam, siasatan mengenai isu berkenaan sebenarnya sudah bermula sejak beberapa tahun lalu, namun terdapat pihak yang menggambarkan belum disiasat dan menggesa SPRM untuk menyiasatnya.

“Ada pihak seolah-olah menggambarkan yang siasatan masih dijalankan dan menggesa SPRM untuk menyiasat.

“Sudah banyak kali saya katakan, kita sedang menyiasat dan peringkat akhir penyiasatan, jadi peringkat ini saya tak mahu komen dulu,” katanya.

Terdahulu, pelbagai pihak mendesak SPRM supaya menyelesaikan segera siasatan berhubung kepincangan projek LCS susulan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan kelmarin.

Antara yang mendesak adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Laporan PAC menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan kapal berkenaan, antaranya kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu.

Bagaimanapun sejak kontrak projek berkenaan ditandatangani pada 2014 sehingga kini tiada satu pun daripada enam kapal yang sepatutnya dibina diterima. – Malaysiapost

Komen