LCS ‘legasi’ tinggalan Najib – Mujahid

LCS ‘legasi’ tinggalan Najib – Mujahid

KETIRISAN dalam projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang didedahkan melalui laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini adalah antara skandal yang berlaku ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata ia adalah legasi era Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Pertahanan ketika itu.

Beliau berkata, parti Melayu yang melaungkan patriotism negara dan ketuanan orang Melayu berkenaan bukan sahaja menipu orang Melayu tetapi membahayakan keselamatan perairan negara dengan kegagalan projek ini akibat rasuah.

“Segala usaha dari Pakatan Harapan (PH) untuk selamatkan negara dari penyakit rasuah yang sistemik telah dikhianati atas sentimen perkauman dan agama sempit.

“Namun setelah pengkhianatan mereka, satu persatu skandal dari pimpinan politik orang-orang Melayu terus terbongkar.

“Lebih menggerunkan institusi orang Melayu /Islam seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji (TH) menjadi mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, walaupun hanya 22 bulan memerintah PH berjaya memulakan langkah pemulihan ke atas kedua institusi berkenaan.

“Arahan LTAT oleh ‘Bossku’ untuk membeli syarikat swasta bernilai RM550 uta untuk kuatkuasa Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang rugi. Ini didedahkan oleh laporan PAC.

“PH telah selamatkan LTAT dengan menebus kembali RM550j uta. Seluruh Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Eksekutifnya ditukar untuk memulihkan LTAT semasa kerajaan PH,” katanya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, ketika TH mengalami masalah kewangan yang sama.

“Sejak 2014 dividen dibayar tinggi serta tidak patuh akta dan kerugian tidak direkodkan, manakala keputusan dibuat dengan campur tangan politik.

“Tiada bezanya dengan LTAT. Peliknya TH terus diserang dan difitnah walaupun Jabatan Audit Negara untuk kewangan TH tahun 2019,2020 dan 2021 memperakui kejayaan hasil penstrukturan-semula TH di bawah kerajaan PH.

“Buktinya TH hari ini mampu membeli bangunan Minster Building di London bernilai RM1.32B walaupun tidak disebut harga perolehan,” katanya.

Mujahid menyeru agar rakyat Malaysia khususnya orang Melayu supaya sedar dan tidak terus diperbodohkan oleh kelompok yang guna perkauman dan sentimen Melayu. – Malaysiapost

Komen