MARA masih mampu hantar pelajar ke luar negara

MARA masih mampu hantar pelajar ke luar negara

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) mempunyai dana mencukupi untuk menghantar pelajar tajaannya menyambung pengajian ke luar negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, agensi itu tetap akan meneruskan program berkenaan biarpun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

“Kerajaan akan terus menghantar pelajar-pelajar Malaysia (tajaan MARA) ke luar negara.

“Tiada tekanan (untuk menghentikan) kerana setiap tahun apabila nak buat bajet, dah letak siap-siap bajet untuk pendidikan, jadi tak (perlu) susah hati,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Bekwoh Keluarga Malaysia Rakyat Tumpat dan Agihan Zakat FELCRA Berhad di Pantai Geting, Tumpat, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha KPLB, Mas Rizal Mohd Helmi, Pengerusi FELCRA Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Datuk Mohamad Yasid Bidin dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Mat Roni Zakaria

Mahdzir menjelaskan, polisi MARA menghantar pelajar tajaannya ke luar negara adalah berdasarkan bidang tumpuan.

Manakala pelajarnya pula dipilih berdasarkan kesesuaian semasa.

“Hari ini orang bercakap pasal teknologi digital, perubahan iklim, tenaga lestari, kecerdasan buatan (AI), ini antara bidang yang diberi tumpuan selain bidang sedia ada seperti kejuruteraan dan aeroangkasa.

Selain itu tambah Mahdzir, MARA turut memilih universiti terkemuka yang berada dalam senarai ranking 50 ternama dunia.

“Pelajar yang dihantar juga memiliki markah terbaik untuk ditempatkan di universiti-universiti terbaik ini,” katanya. -Malaysiapost

Komen