Maut dilanggar ketika memotong rumput

Maut dilanggar ketika memotong rumput

MALANG menimpa seorang pekerja syarikat pembersihan apabila maut dirempuh sebuah kereta ketika sedang memotong rumput di tepi jalan Taman Selasih, Kulim, hari ini.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.14 tengah hari tadi menyebabkan mangsa berusia 68 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terperosok di bawah kereta jenis Proton Iswara dipandu lelaki berusia 77 tahun.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, pemandu kereta terbabit dipercayai hilang kawalan lalu merempuh mangsa yang berada di kiri jalan.

Jelasnya, ketika kejadian mangsa sedang memotong rumput di tepi jalan berkenaan.

“Akibat daripada perlanggaran itu, mangsa terperosok di bawah kereta sebelum dikeluarkan dengan bantuan orang ramai dan anggota bomba.

“Pegawai perubatan kemudian mengesahkan mangsa yang mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan telah meninggal dunia,” katanya dipetik Kosmo hari ini.

Mohd Redzuan berkata, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -Malaysiapost

Komen