Netizen kecam pasangan beri bayi hisap vape

Netizen kecam pasangan beri bayi hisap vape

KLIP video memaparkan seorang lelaki tergamak memberi bayi menghisap rokok elektronik atau vape mengundang pelbagai reaksi netizen di media sosial.

Malah, lebih menjengkelkan apabila kedengaran suara seorang wanita yang menyokong tindakan lelaki itu memasukkan muncung vape ke dalam mulut bayi ketika sedang memangkunya.

Perbuatan itu mengundang kecaman hebat netizen.

“Pecah rekod ah… Abi…. Pecah rekod nanti you sedut,” kata wanita itu sambil ketawa.

Dipercayai wanita itu yang merakam klip video berdurasi 12 saat itu.

Klip video itu telah dikongsi menerusi Instagram Story sebelum ia disebarkan ke laman Twitter oleh seorang individu.

Bagaimanapun, laman Instagram milik individu berkenaan dipercayai telah dinyahaktifkan susulan menerima kecaman ramai.

Berdasarkan tangkap layar yang dikongsi di laman Twitter, wanita berkenaan dikatakan bukan ibu kandung, sebaliknya ibu saudara kepada bayi berkenaan, manakala lelaki tersebut adalah teman lelakinya.

Sementara itu, klip video tular itu turut mendapat perhatian pengasas MedTweetMy, Dr Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin.

Menerusi laman Twitter miliknya, Khairul Hafidz mengecam perbuatan lelaki itu dengan menyifatkan ianya tidak boleh diterima untuk dilakukan terhadap seorang bayi.

“Tak boleh terima, saya akan bawa isu ini kepada pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya.

Rata-rata netizen menyokong ciapan berkenaan dan berharap lelaki dan wanita berkenaan dikenakan tindakan yang setimpal.

Netizen menghamburkan kemarahan mereka kepada pasangan berkenaan kerana tidak tahu membezakan antara gurauan dengan perkara yang boleh memudaratkan kesihatan bayi. – Malaysiapost

Komen