PAC perlu lapor tahap kemajuan LCS ketika era kerajaan PH – Najib

PAC perlu lapor tahap kemajuan LCS ketika era kerajaan PH – Najib

DATUK Seri Najib Razak mendesak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk melaporkan tahap kemajuan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) bermula Mei 2018 sehingga dibekukan pada September 2019.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, PAC perlu berlaku adil untuk melaporkan berapakah peningkatan kemajuan projek berkenaan sebelum ianya dibekukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahap 55.7 peratus. 

“Demi keadilan, PAC perlu beritahu, apakah tahap kemajuan projek pada Mei 2018 dan berapakah peningkatan kemajuan projek dari Mei 2018 hingga projek dibeku pada tahap 55.7% pada akhir Sept 2019.

“Berapakah daripada jumlah pembayaran RM6 bilion setakat ini adalah dibayar dalam tempoh kerajaan PH,” katanya di Faebook, hari ini. 

Menjelaskan mengenainya, Najib berkata, ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata dalam jawapan di Parlimen bahawa projek LCS itu dibekukan kerajaan PH ketika tahap kemajuan projek berkenaan telah mencecah 55.7 peratus. 

“Pengerusi PAC kata tahap kemajuan projek ketika penamaan dan pelancaran kapal pertama pada Ogos 2017 adalah hanya sekitar 44%.

“Dalam jawapan parlimen pada Oktober 2019 semasa projek dibekukan kerajaan PH, Mat Sabu kata tahap kemajuan projek adalah 55.7%,” katanya. 

Najib turut menjelaskan, surat anugerah projek LCS telah dikeluarkan pada tahun 2011, namun perjanjian kontrak telah dimeterai pada Julai 2014 dan projek berkenaan telah dimulakan pada Disember tahun yang sama. 

Ahli Parlimen Pekan itu turut mengingatkan bahawa projek LCS itu telah dilewatkan pada tahun 2018 selepas PH menang PRU14. 

“Sebab PH siasat, tukar hampir semua pengurusan tertinggi termasuk boss Boustead, pengerusi LTAT dan Panglima Tentera Laut sebelum keseluruhan projek dibekukan pada September 2019.

“Projek terus dibeku selama hampir 3 tahun sehingga kabinet kerajaan hari ini membuat keputusan untuk sambungkan projek pada April 2022,” katanya. 

Dalam pada itu, Najib mempersoalkan kemajuan projek itu semakin perlahan ketika era pemerintahan kerajaan PH berbanding pada zaman pemerintahan BN. 

“Dalam tempoh 32 bulan sejak pembinaan bermula pada akhir tahun 2014 sehingga Julai 2017, tahap kemajuan projek ialah 44%.

“Tetapi dalam tempoh 26 bulan (termasuk 16 bulan bawah PH) dari Julai 2017 ke PRU14 hingga September 2019 ketika projek dibekukan kerajaan PH, kemajuan projek cuma bertambah 11.7% ke 55.7% seperti diberitahu Mat Sabu dalam jawapan Parlimen dia.

“32 bulan = 44%, 26 bulan (termasuk 16 bulan bawah PH) = 11.7%. Kenapa pula semakin perlahan?” soalnya. – Malaysiapost

Komen