Pas tidak akan keluar dari kerajaan – Mohd Puad

Pas tidak akan keluar dari kerajaan – Mohd Puad

BERSATU mesti bermaruah dan tidak menjadi umpama ‘melukut di tepi gantang’ dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), jika benar-benar mahu menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ia kerana maruah Bersatu sudah banyak tercalar.

“Bersatu bertindak betul kalau benar mahu keluar dari Kerajaan. Bersatu mesti bermaruah untuk masuk PRU-15.
Maruah Bersatu banyak tercalar.

“Kalau masuk PRU-15 umpama “melukut di tepi gantang”, Bersatu akan senasib Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Mungkin ramai calonnya hilang wang pertaruhan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, maruah parti itu tercalar kerana apabila Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dibawa ke Parlimen, semua Ahli Parlimennya tidak berbahas tetapi mengundi sokong dan jika bebahas akan lagi memalukan.

“Masalahnya kalau Bersatu tekan ‘butang’, Pas tidak akan tekan butang. Buruk padahnya pada Pas terutama untuk PRU-15. Pas akan dituduh suka tebuk atap.

“Pas sekarang pun sudah cakap lain. Pada Pas jawatan Timbalan Perdana Menteri hanyalah memorandum. Ia bukan perjanjian.

“Maka tidak ada sebab Pas kena tekan butang. Lebih baik Pas tinggalkan Perikatan Nasional (PN). Hidupkan semula Muafakat Nasional (MN),” katanya.

Terdahulu media melaporkan PN berkemungkinan menarik diri daripada kerajaan sebagai protes terhadap keengganan Perdana Menteri untuk memenuhi perjanjian bagi melantik Timbalan Perdana Menteri daripada Bersatu.

Ia susulan kepimpinan PN kecewa selepas pertemuan dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijadualkan berlangsung pada 2.30 petang semalam tiba-tiba dibatalkan malam sebelumnya oleh Pejabat Perdana Menteri. – Malaysiapost

Komen