Salah selamatkan maruah Liverpool

Salah selamatkan maruah Liverpool

GOL penyamaan daripada penyerang sensasi, Mo Salah telah menyelamatkan Liverpool diaibkan Fulham dalam perlawanan sulung musim baru Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi. 

Penyerang kelahiran Mesir itu berjaya menyudahkan hantaran Darwin Nunez, 10 minit sebelum tamat perlawanan yang menyaksikan Liverpool bergelut sepanjang perlawanan yang berlangsung di Craven Cottage. 

Terdahulu, anak buah Jurgen Klopp yang masih segar menjuarai Piala Perisai Komuniti minggu lalu, mempamerkan persembahan tidak bermaya sepanjang babak pertama berlangsung. 

Statistik menunjukkan, Liverpool gagal mencatatkan sebarang percubaan tepat ke arah gol lawan pada separuh masa pertama, sesuatu yang janggal dipamerkan Liverpool sebelum ini. 

Berbeza dengan Fulham, pendatang baru EPL itu nyata bersemangat beraksi di hadapan penyokong sendiri apabila berjaya mempamerkan persembahan mantap dan menarik. 

Fulham menggamatkan penyokong di Craven Cottage apabila penyerang Aleksandar Mitrovic berjaya membolosi gawang Liverpool pada minit ke-32 sekali gus mendahului 1-0.

Pada babak kedua, Liverpool menukar corak serangan apabila memasukkan penyerang Uruguay, Darwin Nunez pada minit ke-50 bagi meningkatkan peluang menjaringkan gol. 

Ternyata, perubahan taktikal itu berbaloi apabila Nunez berjaya menghasilkan gol pada minit ke-64 selepas menguis masuk hantaran Mo Salah. 

Bagaimanapun Fulham sekali lagi di hadapan apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti susulan kekasaran Van Dijk ke atas Mitrovic dalam satu serangan balas. 

Mitrovic tidak melepaskan peluang itu dan dengan mudah menyempurnakan sepakan penalti menewaskan Alisson Becker pada minit ke-72. 

Hasrat untuk melihat Fulham mencipta kejutan baharu EPL meleset sama sekali apabila Mo Salah muncul menyelamatkan maruah Liverpool dengan jaringan gol penyamaan pada minit ke-80.

Kedudukan terikat 2-2 sehingga wisel penamat ditiupkan. -Malaysiapost

Komen