Segelintir ahli cuba mencemarkan imej Warisan Perak

Segelintir ahli cuba mencemarkan imej Warisan Perak

PARTI Warisan Negeri Perak menegaskan dakwaan kumpulan yang menggelarkan diri sebagai Penyelaras Bahagian Warisan Negeri Perak mengenai ahli parti daripada lapan bahagian di negeri itu mengisytiharkan keluar parti adalah tidak benar.

Ketua Penerangan Negeri Warisan Perak Mohd Sani Abbas, berkata sebelum ini tiada sebarang watikah perlantikan atau janji diberi kepada individu atau kumpulan sebagai Pimpinan Negeri atau Penyelaras di peringkat Bahagian Negeri Perak.

Menurutnya, perlantikan rasmi jawatan jawatan tertinggi Warisan Negeri Perak hanya diumumkan pada 24 Julai lalu melalui Mesyuarat Warisan Negeri Perak yang pertama kali diadakan.

“Kumpulan ini hanyalah terdiri daripada beberapa ahli ahli biasa yang sebelum ini aktif menawarkan diri membantu Warisan mengembangkan sayap di Perak, namun tidak terpilih memegang jawatan di peringkat Negeri maupun di peringkat Bahagian.

“Ini ditambah dengan keputusan Warisan Pusat yang hanya akan bertanding di beberapa bahagian sahaja di Perak yang mana tidak selari dengan pendirian mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai sidang media oleh kumpulan yang mengelarkan diri mereka sebagai Penyelaras Bahagian Warisan Negeri Perak di Ipoh, semalam yang mendakwa kira-kira 600 ahli Warisan daripada lapan bahagian di Perak keluar parti.

Menurut kumpulan itu, kesemua mereka yang keluar parti terdiri daripada ahli Warisan Bahagian Parit Buntar, Bagan Serai, Larut, Kuala Kangsar, Sungai Siput Beruas, Batu Gajah dan Teluk Intan.

Mohd Sani berkata, kenyataan itu adalah cubaan segelintir ahli-ahli yang cuba mencemarkan imej Parti Warisan.

“Ia tidak sama sekali menjejaskan persiapan Warisan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya. – Malaysiapost

Komen