Konsulat Malaysia di Jeddah kenal pasti kumpulan dakwa Imam Mahdi muncul tahun ini

Konsulat Malaysia di Jeddah kenal pasti kumpulan dakwa Imam Mahdi muncul tahun ini

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad telah menghubungi Konsulat Malaysia di Jeddah bagi mengenal pasti keberadaan kumpulan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah.

Ia susulan tular kenyataan kumpulan berkenaan mendakwa Imam Mahadi akan muncul pada Hari Arafah tahun ini.

“Saya telah menghubungi Konsulat Malaysia di Jeddah untuk mengenal pasti keberadaan kumpulan ini seterusnya diambil tindakan.

“Saya juga ucap tahniah kepada pihak berkuasa agama negeri iaitu Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan dan Jabatan Mufti Negeri Sembilan yang menutup pusat pergerakan kumpulan tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Idris turut menasihatkan orang awam agar menyelidik terlebih dulu selain mencari guru yang mursyid, berilmu dan beramal dengan ilmu sebelum terjebak dengan kumpulan-kumpulan yang meragukan.

Sebelum ini, Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS) menyiasat tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah susulan kumpulan berkenaan mendakwa Imam Mahadi akan muncul pada Hari Arafah tahun ini.

Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad, berkata dakwaan itu dimaklumkan oleh sebahagian pengikut tarekat berkenaan kepada JMNS selepas mula menyedari ajarannya bertentangan dengan hukum syarak.

JMNS juga telah menutup pusat pengamalan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah, yang beroperasi di Lot 3263, Jalan Labu Batu 8, Kampung Jawa, Labu, sejak 3 Ogos lalu.

Menurutnya, ketika ini Habib Shah Firdaus berada di Makkah bersama lebih 100 pengikut tegarnya kerana menunaikan haji dan umrah. – Malaysiapost

Komen