Jangan tinggal solat, sentiasa baca Al-Quran, nasihat Idris kepada pelajar IKMAS

Jangan tinggal solat, sentiasa baca Al-Quran, nasihat Idris kepada pelajar IKMAS

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mengingatkan graduan Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) kali ke-18, agar tidak meninggalkan solat dan sentiasa membaca Al-Quran.

Beliau berkata, dengan mengamalkan dua perkara itu, ia dapat menghadirkan keharmonian dalam berkhidmat kepada masyarakat.

“Saya berpesan kepada semua graduan agar tidak tinggal solat dan mesti membaca al-Quran.

“Perjalanan hidup baru bermula. Setiap graduan mesti berkeinginan menyambung pelajaran sehingga peringkat tertinggi.

“Suatu masa nanti bakal berbakti dan berkhidmat kepada masyarakat khususnya di bumi Sarawak yang sangat subur dengan dakwah dan keharmonian,” katanya hantaran di menerusi Facebook.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Istiadat Konvokesyen IKMAS kali ke-18 hari ini.

Tambah Idris, pendidikan juga dapat mengubah kehidupan dan mampu menamatkan warisan kemiskinan keluarga.

“Itulah harta yang berharga”. Namun para graduan, usah lupa di sebalik kejayaan kamu, di sana ada doa dan pengorbanan ibu bapa.

“Walau setinggi mana puncak kejayaan kita, wajib kita balas jasa mereka sedaya mampu kita selain mendoakan kesejahteraan buat mereka.

“Tidak dilupakan peranan para pensyarah yang berkorban semata-mata ingin melihat kita berjaya membina kehidupan,” katanya.

IKMAS yang dulu dikenali dengan nama Pesantren ASEAN merupakan salah satu institut pendidikan dibawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM hampir 22 tahun operasinya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada 187 orang pelajar yang berjaya menamatkan pengajian mereka diperingkat Diploma dalam Dakwah Islamiyah.

“Mewakili Kerajaan Persekutuan, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kerana sudi hadir memenuhi undangan ke Majlis Istiadat Konvokesyen IKMAS pada kali ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen