‘Saya kini Azri Alexander, bukan lagi Azri Iskandar’

‘Saya kini Azri Alexander, bukan lagi Azri Iskandar’

PELAKON Azri Iskandar yang terpalit kontroversi masalah rumah tangganya baru-baru ini, tidak mahu lagi menggunakan nama ‘Azri Iskandar’.

Bekas suami kepada pelakon Elly Suriaty Omar itu sebaliknya kini mahu dikenali sebagai Azri Alexander.

“Mulai hari ini saya ingin mengumumkan bahawa Azri Iskandar sudah tiada lagi dan saya kini mahu dikenali sebagai Azri Alexander.

“Kasihan arwah ibu saya. Susah-payah dia bagi nama Azri Iskandar itu kepada saya tapi nama itu pula asyik kena kecam netizen sahaja.

“Sebab itulah, saya mahu tukar nama Azri Iskandar itu kepada Azri Alexander,” katanya memetik laporan Getaran.

Azri berkata, punca mengapa dia berhasrat untuk menggunakan nama Azri Alexander kerana ia bersifat komersial dan mampu membantunya untuk berada di pasaran antarabangsa.

“Sekarang ini, saya mendapat energi dan ilham baharu. Jadi, sudah sampai masanya untuk saya menukar nama menjadi lebih komersil lagi.

“Lagipun, ramai pelakon lain yang berbuat begitu dan ia juga boleh membantu untuk saya keluar ke pasaran antarabangsa,” ujarnya.

Mengulas perkembangan terkini lakonannya, Azri berkata dia bakal membintangi sebuah projek drama bersiri mega bersama Datuk Rosyam Nor untuk saluran Astro Ria.

“Sekarang ini saya sedang menjayakan drama Ku Punya Hati yang sedang ditayangkan di slot Akasia TV3. Tak lama lagi drama itu akan berakhir,” katanya,

Sebelum ini, nama Azri rancak menjadi bualan netizen selepas mengesahkan bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat dengan seorang penulis skrip dan lirik dikenali sebagai Dr Azra Diera Abdul Hamid, 43.

Pengakuan itu dibuat selepas Azri dan Ellie Suriaty sah bercerai talak satu pada 17 Mei lalu selepas 19 tahun hidup bersama. – Malaysiapost

Komen