Ada kanak-kanak Palestin belum tahu bapa sudah tiada – Nadir Al-Nuri

Ada kanak-kanak Palestin belum tahu bapa sudah tiada – Nadir Al-Nuri

BIARPUN hanya membawa hadiah kerusi roda dan lampin pakai buang, kanak-kanak di Palestin menyambut dengan gembira sumbangan yang disalurkan kepada hospital di tanah Gaza.

Perkara tersebut dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamamrulzaman atau lebih dikenali Nadir Al-Nuri menerusi Facebooknya hari ini.

“Memang menyakitkan apabila di tempat lain kanak-kanak digembirakan dengan kek hari lahir dan hadiah mainan tetapi di Gaza anak-anak ini menyambut kami yang membawa hadiah kerusi roda dan lampin pakai buang.

“Tetapi itulah hakikatnya, anak-anak ini lahir di sini tanpa diminta, lalu perlu terus bangkit mendokong panji dan meneruskan perjuangan,” tulisnya.

Muhammad Nadir berkata, kanak-kanak yang menerima rawatan di hospital itu masih dalam keadaan terkejut selain tidak memahami apa yang sedang berlaku di Gaza.

Katanya, ada di kalangan kanak-kanak itu belum mengetahui bapanya telah meninggal dunia atau rumah kediaman mereka sudah musnah dalam serangan tempoh hari.

“Tetapi kesemuanya masih bersemangat dan menerima kami dengan cubaan untuk mengukir senyuman.

“Esok lusa mereka akan keluar daripada hospital dan ketika itulah mereka akan memerlukan kita untuk membina semula masa depan, membangunkan semula kehidupan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Muhammad Nadir berkata, orang ramai yang ingin menyumbang kepada rakyat Palestin boleh menyalurkan sumbangan kepada Cinta Gaza Malaysia, menerusi akaun Maybank 564810507826 atau terus ke pautan emergency4gaza.com/kecemasan

“Doakan kami terus teguh berdepan kisah duka dan air mata setiap hari di sini,” katanya.

Seramai kira-kira 31 rakyat Palestin dilaporkan terkorban di Semenanjung Gaza termasuk enam kanak-kanak dan 203 cedera dalam serangan udara tentera rejim zionis bermula Jumaat lalu. – Malaysiapost

Komen