Ainul Mardhiah ditidurkan kembali

Ainul Mardhiah ditidurkan kembali

ADIK Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang dilaporkan telah sedar sepenuhnya selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak Ahad lalu, kini ditidurkan semula hari ini.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak menerusi hantaran di Facebook, memaklumkan Ainul kembali menggunakan alat bantuan pernafasan dan ditidurkan bertujuan untuk kawal sawan dan merehatkan otaknya.

“Ainul nampak penat sangat lepas diserang sawan panas banyak kali. Hari ini, biarlah dia berehat. Saya doa semoga Allah SWT bukakan jalan dan bimbing para doktor cari punca masalahnya.

“Doktor semua sedang berusaha keras mencari jalan rawatan yang terbaik, saya saksikannya. Kakak kakak misi (jururawat) pun semua jaga Ainul dengan baik,” katanya.

Semalam, kanak-kanak yang pernah menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor, itu dilaporkan kembali berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami empat hingga lima kali sawan dalam tempoh tak sampai 12 jam.

Menurut Ahmad Safiuddin, dia dan keluarga tidak akan berputus asa dan akan terus berdoa agar Ainul kembali sihat, namun mereka reda dengan apa jua yang berlaku.

“Kita usaha, kita doa dan akhir sekali, kita kena sedar bahawa Allah SWT jua lah pemilik segala kesembuhan dan kesihatan. DIA kalau nak bagi, tidak ada satu tangan pun boleh halang. Begitu juga jika DIA nak tarik nikmat dalam hidup kita hari ini.

“Saya reda dan saya dah halalkan anak saya, namun saya tidak akan berputus asa dan tak akan berhenti berdoa. Apa yang bakal berlaku, saya percaya itulah yang terbaik dari-Nya,” katanya.

Ainul terpaksa dibawa ke hospital menaiki ambulans pada 7 Ogos lalu selepas mengalami simptom muntah dan cirit-birit akibat jangkitan kuman.

Kanak-kanak itu sebelum ini pernah menjalani pembedahan di London, United Kingdom bagi membuang tumor seberat 200 gram daripada mulutnya pada 2019. – Malaysiapost

Komen