Penyokong mengamuk, Perak FC tumpaskan Kelantan FC

Penyokong mengamuk, Perak FC tumpaskan Kelantan FC

PERLAWANAN Liga Premier antara Kelantan FC menentang Perak FC bertukar ‘panas’ petang tadi selepas berlaku insiden pergaduhan melibatkan penyokong kedua-dua pasukan.

Menerusi beberapa klip video yang tular di media sosial, kejadian berlaku di Stadium Sultan Muhammad IV di mana penyokong Perak FC diarahkan masuk ke dalam padang dan tidak dibenarkan untuk keluar dari stadium selepas wisel penamat dibunyikan.

Selain penyokong, pemain Perak FC juga dikatakan terpaksa ‘berlindung’ di tengah stadium bagi mengelak daripada mencetuskan perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

Kejadian dipercayai bermula apabila sekumpulan penyokong pasukan Perak FC melakukan provokasi terhadap sekelompok penyokong tuan rumah pada penghujung perlawanan.

Insiden berkenaan telah membawa kepada situasi berbalas balingan objek sehingga memaksa penyokong-penyokong Perak FC memasuki kawasan padang perlawanan dan berkumpul di hadapan pintu gol.

Suasana bertambah tegang apabila penyokong Kelantan FC berkumpul di luar stadium sehingga memaksa pihak keselamatan bersama pasukan polis menahan penyokong-penyokong Perak di dalam kawasan stadium. – Malaysiapost

Kredit Foto: Perak Football Club

Komen