Semalam genap setahun pemergian Siti Sarah

Semalam genap setahun pemergian Siti Sarah

PELAKON dan pelawak Shuib Sepahtu menitipkan pesanan buat para suami sempena setahun pemergian isterinya Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.

Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, 38, berpesan kepada semua suami agar menunaikan permintaan orang yang disayangi sebaik mungkin.

“Cubalah sehabis baik untuk memenuhi segala permintaan yang tersayang kerana mungkin itu adalah permintaan yang terakhir,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Semalam genap setahun penyanyi Siti Sarah meninggal dunia akibat Covid-19 dan Shuib turut berkongsi video kenangannya bersama arwah ketika menunaikan permintaan isterinya itu untuk makan di tempat kesukaannya.

“9 Ogos 2022. Genap setahun sayang pemergian you. Inilah video yang selalu buat I sedih yang teramat. Masa ni pregnant lima bulan, you nak sangat makan dekat tempat favourite you, berkali-kali call sebab nak ajak pergi makan.

“Bila I pergi ambik, buat pulak muka comel dengan manjanya sekali. Alhamdulillah dapat you makan kat tempat yang you nak,” tulisnya.

Sementara itu, Shuib yang juga seorang usahawan turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang berterusan mendoakan arwah isterinya itu.

“Semoga kita semua diberkati dan dirahmati dunia dan akhirat.Amin al-Fatihah buat Siti Sarah Raissuddin,” katanya.

Dalam satu hantaran lain, pelawak berkenaan turut berkongsi mengenai sambutan ulang tahun kelahiran anak bongsunya Ayash Affan yang kini berusia setahun.

Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat jangkitan Covid-19 pada 9 Ogos tahun lalu.

Penyanyi itu yang sarat mengandung lapan bulan disahkan positif Covid-19 pada 25 Julai 2021 dan terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 6 Ogos 2021 dan ditidurkan susulan kandungan oksigen yang semakin menurun.

Selepas ditidurkan, pasukan perubatan terbaksa menjalankan pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungannya.

Hasil perkahwinan, Shuib dan Siti Sarah dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 7, dan Ayash Affan. – Malaysiapost

Komen