Semua negeri disyor pinda perlembagaan, laksana larangan lompat parti 

Semua negeri disyor pinda perlembagaan, laksana larangan lompat parti 

DATUK Seri lsmail Sabri Yaakob akan mengesyorkan kepada semua negeri mengenai pindaan terhadap Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan semua Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk meminda Perlembagaan Negeri masing masing. 

Ia dengan memasukkan peruntukan larangan bertukar parti agar selaras dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Pesekutuan sebagaimana yang diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Perdana Menteri sehubungan itu akan membuat pemakluman melalui surat kepada semua menteri besar dan ketua menteri. 

“Ini adalah untuk penyeragaman dengan undang undang Persekutuan di bawah Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan. 

“Kerajaan Persekutuan berharap agar semua negeri menerima pakai cadangan peruntukan ini supaya kestabilan politik dapat dikekalkan dan penyeragaman sistem boleh dicapai bukan sahaja di peringkat Persekutuan bahkan di peringkat negeri,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Wan Junaidi berkata surat pemakluman itu akan dihantar setelah Jabatan Peguam Negara mendapat perkenan Yang di Pertuan Agong 

Semalam Rang Undang Undang Perlembagaan (Pindaan) No. 3 2022 Pindaan dalam Jawatankuasa yang memperuntukkan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti diluluskan di Dewan Negara dengan undian majoriti sebanyak 52 Ahli Dewan Negara bersetuju manakala tujuh tidak hadir. – Malaysiapost

Komen