Tubuh RCI siasat LCS, Wan Saiful sambut baik rentasi parti

Tubuh RCI siasat LCS, Wan Saiful sambut baik rentasi parti

BERSATU menyambut baik usaha mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) yang turut mendapat sokongan daripada parti-parti lain.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata sokongan merentasi parti terhadap penubuhan RCI menggambarkan betapa seriusnya isu berkenaan.

“Saya gembira kerana hari ini beberapa parti lain turut menyokong cadangan penubuhan RCI, setelah saya mula mencadangkannya beberapa hari lepas.

“Saya harap semua parti politik dan NGO meneruskan usaha agar RCI tertubuh. Ini isu yang merentas kepentingan parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Wan Saiful mengetuai kumpulan Bersatu menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

“Saya menjunjung kasih atas kesudian pihak Istana Negara menerima memorandum kami.

“Kandungan utama memorandum ialah merayu limpah perkenan Tuanku YDP Agong agar sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja ditubuhkan untuk menyiasat skandal LCS,” katanya.

Menjelaskan mengenainya, Wan Saiful berkata, RCI jalan terbaik kerana ia boleh menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan berwibawa.

“Kes LCS ini isu besar. Membabitkan satu projek mega yang telah dibayar tapi kapalnya tidak kelihatan. Jangan biarkan isu ini disapu ke bawah karpet,” katanya. – Malaysiapost

Komen