30 Ogos tarikh keputusan bantahan permohonan Rosmah

30 Ogos tarikh keputusan bantahan permohonan Rosmah

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini, menetapkan 30 Ogos ini untuk keputusan bantahan awal yang dikemukakan Pejabat Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan baharu melibatkan kes Datin Seri Rosmah Mansor.

Ianya berhubung permohonan Rosmah untuk mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion dan membatalkan keseluruhan prosiding yang berlangsung sejak 2018.

Memetik Berita Harian, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, mewakili AGC dan peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader serta Datuk Jagjit Singh, yang mewakili isteri bekas perdana menteri itu.

Terdahulu, Shamsul Bolhassan, berhujah bahawa permohonan itu adalah adalah remeh dan menyusahkan, memandangkan sudah terdapat penghakiman yang menyatakan bahawa pelantikan Sri Ram adalah sah.

“Rayuan terhadap keputusan itu juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan cubaan untuk mendengar rayuan itu di Mahkamah Persekutuan, gagal.

“Permohonan ini juga adalah penyalahgunaan kuasa mahkamah kerana ia mahu mencabar dalam prosiding sivil, perkara yang sudah diputuskan dalam prosiding jenayah,” katanya.

Rosmah, 70, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 24 Jun lalu menerusi Tetuan Akberdin & Co di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) dengan menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.

Sebelum ini, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu memfailkan permohonan sama di Mahkamah Tinggi Jenayah, di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, permohonannya ditolak Mahkamah Tinggi dan rayuannya terhadap permohonan itu juga ditolak Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Dalam permohonan terbarunya, Rosmah memohon deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat), masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021 adalah salah di sisi undang-undang.

Beliau memohon pengisytiharan fiat versi pertama yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, pada 8 Julai 2020, yang sepatutnya ditandatangani Peguam Negara terdahulu, Tan Sri Tommy Thomas pada atau sebelum 15 November 2018, iaitu tarikh pendakwaan ke atas pemohon adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Pemohon memohon deklarasi bahawa fiat versi kedua bertarikh 11 Mei 2021 adalah tidak wujud memandangkan Thomas dalam bukunya – ‘My Story: Justice in Wilderness’, yang diterbitkan pada 2021 menyatakan pelantikan Sri Ram adalah berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukannya kes solar, selain memohon deklarasi bahawa pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu melalui fiat versi ketiga adalah cacat.

Selain itu, Rosmah memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh bagi kes solar yang berlangsung sejak 15 November 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah dan terbatal.

“Oleh itu, saya selaku orang kena tuduh (OKT) perlu dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan dihadapi mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dalam kes solar itu,” katanya.

Rosmah dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion untuk menyediakan tenaga hibrid solar di 369 sekolah di luar bandar Sarawak.

Mahkamah Tinggi menetapkan 1 September ini bagi keputusan kes rasuah Rosmah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion. – Malaysiapost

Komen