‘Datuk Seri’ antara 25 ditahan sertai parti liar

‘Datuk Seri’ antara 25 ditahan sertai parti liar

Ben Ibrahim

SEORANG lelaki dipercayai bergelar ‘Datuk Seri’ ditahan bersama 24 yang lain dalam serbuan di sebuah banglo dekat Janda Baik, Bentong, awal pagi tadi.

Suspek berusia 46 tahun yang juga seorang ahli perniagaan itu dipercayai menyertai ‘parti liar’ yang diadakan di premis terbabit.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata pihaknya melakukan serbuan di premis berkenaan kira-kira jam 1 pagi tadi selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

“Pemeriksaan dilakukan di banglo itu membawa kepada penemuan dadah jenis ketamine seberat 2.18 gram dan pil ecstasy seberat 1.43 gram.

“Daripada 25 yang ditahan, 17 adalah warga tempatan manakala lapan adalah warga asing.

“Seramai 15 suspek adalah lelaki dan 10 lagi perempuan berusia antara 18 hingga 64 tahun,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Zaiham berkata, semua suspek sudah direman selama empat hari, bermula hari ini hingga 14 Ogos.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Sabit kesalahan mengikut Seksyen 12(2) boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 pula, sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Difahamkan, banglo itu disewa RM15,000 bagi tujuan menganjurkan ‘parti liar’ berkenaan. – Malaysiapost

Komen