Mayat 3 mangsa bot karam di Pulau Redang ditemui

Mayat 3 mangsa bot karam di Pulau Redang ditemui

MAYAT tiga mangsa tragedi bot nelayan karam di Pulau Redang berjaya ditemui di Pulau Redang sekitar jam 11 pagi hingga 1.30 tengahari hari semalam.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Ramli, berkata penemuan ketiga-tiga mayat mangsa tersebut di lokasi yang berbeza sekitar 1.7 batu nautika dari Pulau Redang oleh nelayan setempat.

Menurutnya, identiti ketiga-tiga kru bot bernombor pendaftaran TFA 124 telah disahkan iaitu Saludin Ismail, 50, Ahmad Nazri Ishak, 48, dan Zulkifli Umar, 48.

Beliau berkata, seorang mangsa selamat iaitu Muhammad Kamaruddin Yudi, 31, sebelum ini ditemui selamat.

“Sektor pencarian bagi operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari kedua semalam diperluaskan hingga 242 batu nautika dan beberapa aset telah diatur gerak awal seperti Kapal Maritim (KM) Redang, pesawat Bombardier CL415 serta turut dibantu oleh lebih 10 bot nelayan tempatan.

“Usaha pencarian turut melibatkan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, ketiga-tiga mayat mangsa dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu oleh KM Redang sekitar jam 6.30 petang semalam untuk bedah siasat.

“Sehingga kini, seorang lagi mangsa, Raja Zainudin Raja Ibrahim, masih belum ditemui. Usaha pencarian di laut pada hari kedua ditangguhkan sekitar jam 7 petang akibat cuaca gelap dan akan disambung hari ini.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyeru kepada semua komuniti laut dan orang ramai yang ingin melakukan aktiviti di laut supaya menitikberatkan aspek keselamatan.

“Komuniti laut juga diminta menyalurkan maklumat mengenai kecemasan ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kuala Terengganu di talian 09-6224357.

Media sebelum ini melaporkan Maritim Malaysia mengkoordinasikan operasi mencari dan menyelamat kru sebuah bot nelayan yang dipercayai karam di Pulau Redang pada 10 malam Isnin lalu.

Bot nelayan tempatan dengan nombor pendaftaran TFA 124 itu dilaporkan keluar dari Jeti Pasir Puteh, Kelantan. – Malaysiapost

Komen