Najib jelaskan kenapa BNS bayar hutang lapuk guna duit pendahuluan LCS

Najib jelaskan kenapa BNS bayar hutang lapuk guna duit pendahuluan LCS

BOUSTEAD Naval Dockyard Sdn Bhd (BNS) sememangnya sudah menjangka memperolehi keuntungan daripada projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Perkara itu dijelaskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berkata, keuntungan yang bernilai RM400 juta itu telah digunakan membayar hutang lapuk BNS susulan projek pembinaan Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV) yang hanya berjaya membina enam kapal daripada 27 kapal yang sepatutnya.

“BNS memang akan mencatat keuntungan sekiranya diberi kontrak pembinaan enam buah kapal LCS dan seperti didedahkan laporan PAC dan juga CEO LTAT, syarikat BNS telah menggunakan RM400 juta daripada bayaran pendahuluan bagi projek LCS untuk menjelaskan hutang lapuk bagi projek NGPV,” katanya di Facebook, hari ini.

Menjelaskan mengenainya, Najib berkata, pada 1998, kerajaan memberi kontrak pembinaan untuk 27 kapal NGPV dengan anggaran bajet sebanyak RM30 bilion kepada PSC-Naval Dockyard.

Menurut Najib, syarikat itu sebelum ini milik Limbungan TLDM sebelum dikorporatkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri pada 1991.

“Lalu ianya dijual pada tahun 1995 kepada syarikat swasta Penang Shipbuilding & Construction Corporation (PSC) untuk menjadi syarikat PSC-Naval Dockyard

“Fasa pertama melibatkan pembinaan enam kapal pertama dengan kos RM6 bilion. Namun kontrak ini gagal dan tiada satu kapal pun diserahkan oleh PSC-Naval Dockyard sehingga Jun 2005,” jelasnya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kerajaan melalui Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) terpaksa menyelamatkan syarikat itu dan menjenamakan semula sebagai BNS yang akhirnya berjaya menyiapkan enam kapal NGPV daripada 27 yang sepatutnya.

“Maka kerajaan melalui syarikat Boustead milik LTAT terpaksa bail-out projek ini dengan membeli kepentingan saham majoriti dalam syarikat PSC-Naval Dockyard pada Disember 2005.

“Syarikat itu dijenamakan semula menjadi syarikat Boustead Naval Dockyard Sdn Bhd.

“Biarpun BNS terbeban dengan cabaran hutang dan masalah legasi PSC-Naval Dockyard, ianya berjaya menyelamatkan projek tersebut dan menyerahkan enam kapal NGPV antara tahun 2006 hingga 2010,” katanya.

Kemudian, Najib menjelaskan, kerajaan dan TLDM setuju untuk tidak meneruskan projek NGPV, namun diganti dengan projek LCS.

“Masa itu, TLDM dan kerajaan tidak lagi berhasrat untuk meneruskan pembinaan baki 21 buah kapal NGPV yang bernilai sekitar RM24 bilion dan memilih untuk menggantikan projek ini dengan projek Littoral Combat Ship (LCS) yang menjadi kontroversi besar hari ini.

“Sebab itu, ‘letter of award’ diberi pada tahun 2011 untuk membenarkan BNS mula berunding dengan TLDM dan vendor untuk memajukan projek LCS dan untuk terus membina kebolehan serta kepakaran dalam industri pertahanan negara.

“Namun, kontrak akhir untuk membina enam buah kapal LCS yang jauh lebih besar dan canggih berbanding NGPV hanya ditanda tangan pada Julai 2014 di mana pembinaan fizikal kapal LCS hanya bermula pada Januari 2015,” katanya. – Malaysiapost

Komen