Nurul Izzah pimpin PKR di Pulau Pinang, Kedah, Perlis

Nurul Izzah pimpin PKR di Pulau Pinang, Kedah, Perlis

NAIB Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar diumumkan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) parti itu di tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dipersetujui selepas mengadakan pertemuan bersama ketua cabang di negeri tersebut.

“Ini untuk menyediakan satu gerakan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya hari ini.

Anwar berkata, untuk negeri di Semenanjung, tugas untuk menentukan jentera PRU parti ditetapkan untuk diberi kepada timbalan dan naib presiden.

Katanya, untuk Sabah dan Sarawak pula akan diputuskan sendiri oleh ketua cabang di negeri berkenaan.

“Kesemua negeri sudah diputuskan melainkan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ujar Anwar, pelantikan yang dilakukan di setiap negeri boleh dikaji semula selepas PRU diadakan.

Dalam masa sama, dalam hantaran di Facebook, Ahli Parlimen Port Dickson itu yakin dengan pengalaman selama dua dekat Nurul Izzah dapat membantu mengukuhkan kepimpinan negeri.

“Saya yakin pengalaman saudari Nurul Izzah lebih dua dasawarsa lalu dapat meniupkan semangat reformasi serta mengukuhkan lagi Keadilan di Pulau Pinang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya. – Malaysiapost

Komen