Rider tidak wajib miliki GDL

Rider tidak wajib miliki GDL

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) mengesahkan tidak akan mengenakan kepada penunggang p-hailing syarat wajib memiliki lesen memandu vokasional (GDL).

Perkara itu diumumkan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang berkata, hasil perbincangan sesi dialog antara Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dengan Pemuda Umno dan wakil Persatuan Penghantar p-hailing Malaysia (PENGHANTAR) mendapati telah berlaku kekeliruan kenyataan menteri sebelum ini.

“Lesen GDL tidak akan dikenakan kepada penunggang (rider) penghantar p-hailing. Malah, Menteri menjelaskan salah faham yang berlaku akibat kesilapan pelaporan media,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Asyraf Wajdi juga menjelaskan, antara pencapaian daripada sesi dialog itu ialah mewujudkan satu mekanisme pendaftaran vokasional baharu yang tidak akan membebankan penghantar akan diperkenalkan.

“Ini termasuk memberikan moratorium atau caj yang paling minimum dan nominal. Rekod ini penting bagi memastikan kerajaan punya mekanisme untuk menyalurkan apa jua bantuan secara efektif dan melakukan kawal selia aspek kebajikan penghantar.

“Wakil PENGHANTAR Malaysia akan dilibatkan dalam sebarang ‘Task Force’ atau libat urus kementerian yang melibatkan pindaan akta-akta berkaitan menyentuh hak, kebajikan dan kepentingan rider penghantar,” katanya.

Pada masa sama, Asyraf Wajdi berkata, MOT bersetuju untuk mengambil kira Pelan Penambahbaikan Eko-Sistem Ekonomi GIG P-Hailing yang dibangunkan bersama oleh Pemuda Umno, PENGHANTAR dan MTUC.

“Antara lain cadangan termasuk, penetapan harga lantai kadar upah bayaran perkhidmatan pengambilan dan penghantaran pesanan.

“Menggesa syarikat-syarikat penyedia (Grab, Foodpanda, Lalamove dll) menambah baik sistem peta digital di aplikasi syarikat penyedia supaya jarak perjalanan adalah selaras dengan sistem peta aplikasi di Google atau Waze.

“Meningkatkan pelan keselamatan operasi rakan p-hailing seperti muatan barangan yang dibawa, tempoh masa yang ditetapkan dalam penghantaran makanan dan barangan.

“Menggesa syarikat penyedia memberi perlindungan kemalangan dan telus dalam terma dan syarat tuntutan.

“Mewajibkan semua rider penghantar mendaftar dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO dengan Kerajaan memberi insentif sebanyak 80 peratus,” katanya.

Sesi dialog yang dianjur Pemuda Umno itu turut dihadiri Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Terdahulu, media melaporkan penunggang perkhidmatan p-hailling diwajibkan memiliki lesen GDL, selepas pindaan tiga undang-undang pengangkutan jalan diluluskan.

Ka Siong dilaporkan berkata, pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 menetapkan had usia penunggang perkhidmatan penghantaran makanan daripada tidak kurang 21 tahun kepada tidak kurang 18 tahun. – Malaysiapost

Komen