Tambat Ringgit langkah berisiko – Tengku Zafrul

Tambat Ringgit langkah berisiko – Tengku Zafrul

KERAJAAN melalui Bank Negara Malaysia (BNM) tidak bercadang untuk menambat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) kerana langkah itu mempunyai risiko dan penggantian atau ‘trade-off’ yang besar.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ini bermakna tambatan ringgit bukan satu dasar yang terbaik untuk ekonomi Malaysia.

“Seandainya tambatan dilaksanakan, Malaysia perlu mengikut sepenuhnya dasar monetari negara yang mata wangnya menjadi ‘rujukan’ atau asas bagi tambatan ringgit.

“Contohnya, jika ringgit ditambat kepada dolar AS dan seandainya kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) meningkat sebanyak 325 mata asas (atau 3.25 peratus) secara keseluruhan pada 2022, maka Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga perlu dinaikkan pada kadar yang sama meskipun Malaysia berada pada tahap pemulihan ekonomi dan tekanan inflasi yang berbeza daripada AS.

“Dalam hal ini, Malaysia akan menghadapi kekangan untuk menetapkan dasar monetari dan rakyat pula terpaksa menanggung kos pembiayaan yang tinggi walaupun keadaan ekonomi negara kita tidak sama seperti di AS,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Senator Md Nasir Hashim di Parlimen hari ini yang meminta Menteri Kewangan menyatakan sama ada Kementerian Kewangan akan menetapkan nilai pertukaran ringgit dengan dolar AS bagi menstabilkan mata wang tempatan.

Tengku Zafrul sebelum itu menjelaskan bahawa BNM adalah pihak berkuasa tunggal yang mengeluarkan mata wang ringgit yang sah diperlakukan di Malaysia dan berperanan menentukan dasar kadar pertukaran ringgit.

Beliau berkata, sekiranya langkah tambatan dilaksanakan, ia perlu dilengkapi dengan langkah kawalan modal bagi mengelakkan pengaliran keluar modal.

“Namun begitu, tindakan ini akan menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, kadar pertukaran ringgit yang fleksibel pada masa ini adalah satu dasar yang penting bagi mengimbangi keperluan untuk menyerap kejutan luaran dengan kepentingan menyokong aktiviti ekonomi domestik, meskipun dalam keadaan pasaran kewangan dan kadar pertumbuhan ekonomi global yang tidak menentu.

Sehubungan itu, katanya kerajaan menerusi BNM akan sentiasa memastikan keadaan pasaran kewangan yang stabil dan lancar, selain mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan kecairan yang mencukupi serta pasaran yang berdaya tahan dan mendalam untuk mencegah ketidakstabilan nilai ringgit.

“Pemantauan berterusan juga dilaksanakan oleh BNM untuk memastikan keadaan yang teratur dalam pasaran pertukaran asing dan mengelakkan turun naik yang ketara dalam kadar pertukaran ringgit,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan akan terus menguruskan risiko-risiko perkembangan domestik dan luaran dan BNM juga bersedia menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan yang teratur dalam pasaran pertukaran asing untuk mengelakkan turun naik ketara dalam kadar pertukaran ringgit.

“Saya juga ingin menekankan di sini bahawa kekuatan mata wang sesebuah negara juga bergantung kepada asas-asas ekonomi yang kukuh.

“Pada asasnya, ekonomi negara kekal di landasan yang kukuh, disokong oleh permintaan domestik dan luaran yang teguh serta harga komoditi global yang meningkat.

“Kesemua ini telah dicerminkan oleh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
negara pada suku pertama tahun ini yang meningkat sebanyak 5.0 peratus dan dijangka terus berkembang lebih baik pada suku kedua,” katanya. – Malaysiapost

Komen