Ziyad Zolkefli syukur dapat sambut bayi ketiga sejurus pulang ke tanah air

Ziyad Zolkefli syukur dapat sambut bayi ketiga sejurus pulang ke tanah air

ATLET paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli berkongsi berita gembira menimang caya mata ketiga sejurus pulang ke tanah air selepas berjuang di Sukan Para ASEAN, Solo, Indonesia.

Ziyad menerusi hantaran di Instagram menzahirkan rasa syukur selepas isterinya, Zafirah Nasir selamat melahirkan cahaya mata ketiga mereka.

Dalam hantaran itu juga, Ziyad memberitahu diberi peluang untuk menyambut sendiri kelahiran anaknya dengan bantuan doktor di sebuah pusat perubatan.

“Alhamdulillah, pengalaman ini yang paling berharga dalam seumur hidup. Dapat menyambut anak sendiri kalau nak diceritakan memang sangat gemuruh.

“Tapi di sisi saya ada seorang doktor profesional yang selalu menjaga saya. Terima kasih memberikan pengalaman yang tak dapat di tukar ganti,” tulisnya.

Dalam masa sama, Ziyad berkata bayinya ‘menunggu’ sehingga beliau pulang ke tanah air untuk menyambut ahli baharu dalam keluarganya.

 “Anak tunggu ayah pulang dari Para Asean Solo, Indonesia tetap tunggu ayah balik juga baru keluar. Diberikan kesempatan untuk berada di sini yang tersayang @zafira_nasir dan terima kasih doktor Khamsiah memberikan pegalaman yang berharga,” ujarnya.

Ziyad dan Zafira mendirikan rumah tangga pada November 2016 dan hasil perkahwinan itu pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata, Zuhayra Zafra,5 dan Thariq Zavier, 3.

Jaguh lontar peluru para negara itu menyumbang pingat emas pertama buat Malaysia temasya Sukan Para ASEAN edisi Solo, Indonesia, 1 Ogos lalu. – Malaysiapost

Komen