Wujud syarikat luar pesisir pantai pindah duit projek LCS – Rafizi

Wujud syarikat luar pesisir pantai pindah duit projek LCS – Rafizi

TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa terdapat sebuah syarikat pesisir luar pantai ditubuhkan untuk memindahkan sejumlah RM192 juta wang daripada projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TLDM).

Beliau mendedahkan syarikat yang ditubuhkan di Malta itu diberi nama Alizes Marine Limited berperanan memindahkan wang dari projek LCS ke akaun-akaun di luar negara yang tidak dapat dijejaki.

“Hari ini, saya ingin mendedahkan bahawa sebuah syarikat pesisir luar pantai (offshore incorporated company) telah dinamakan di dalam siasatan dalaman sebagai syarikat yang ditubuhkan untuk memindahkan wang dari projek LCS ke akaun-akaun di luar negara.

“Syarikat yang dinamakan adalah Alizes Marine Limited, sebuah syarikat yang ditubuhkan di Malta. Syarikat ini juga dinamakan di dalam siri pendidihan Panama/Paradise Papers yang mendedahkan bagaimana syarikat-syarikat pesisir luar pantai digunakan untuk menyembunyikan wang dari aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rafizi berkata, Alizes Marine Limited dilantik subkontraktor projek LCS sebagai pembekal alat gantian atas cadangan DCNS, kontraktor teknikal projek LCS yang menyediakan reka bentuk dan spesifikasi teknikal.

Katanya, Alizes Marine Limited dicadangkan atas ia sebuah syarikat pembekal pertahanan Perancis yang menggunakan nama Alizes Marine France.

“Siasatan dalaman itu mendapati subkontraktor projek LCS membayar kira-kira RM210 juta antara 2011 hingga 2015 kepada Alizes Marine France bagi pembelian alat ganti, yang dibayar ke beberapa akaun di bawah Alizes Marine Limited.

“Namun, jumlah perolehan dalam penyata kewangan Alizes Marine France yang dilaporkan kepada pihak berkuasa Perancis hanya EUR3.53 juta (sekitar RM18 juta).

“Ini bermakna, sejumlah RM192 juta dipindahkan ke akaun syarikat pesisir luar pantai yang tidak dapat dijejaki,” katanya.

Beliau berkata, hasil semakan invois pembekal tertentu mendapati sejumlah bayaran palsu berjumlah RM23.37 juta dihantar kepada subkontraktor projek LCS untuk perkhidmatan teknikal yang tidak wujud.

“Apabila pembekal-pembekal ini dijejaki, syarikat sebenarnya tidak wujud kerana maklumat alamat yang diberikan adalah palsu. Malah, semakan menunjukkan bayaran dibuat ke akaun-akaun lain.

“Modus operandi yang digunakan mirip kaedah yang digunakan untuk mencuri wang 1MDB. Syarikat-syarikat palsu ditubuhkan di seluruh dunia yang namanya menyamai sebuah syarikat yang benar-benar wujud.

“Invois dihantar dari satu syarikat, sebaliknya arahan bayaran adalah supaya invois dibayar ke satu akaun yang didaftarkan di bawah syarikat yang namanya hampir sama tetapi syarikat berlainan,” katanya.

Rafizi juga berkata, siasatan dalaman menamakan Alizes Marine Limited sebagai salah sebuah syarikat yang banyak menerima bayaran bagi perkhidmatan sebegini.

“Alizes Marine Limited dilantik oleh subkon projek sebagai pembekal alat-alat gantian (spare parts) untuk projek ini atas cadangan DCNS, kontraktor teknikal yang menyediakan reka bentuk dan spesifikasi teknikal kapal kelas Gowind,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dalaman projek LCS, dalam menamakan Alizes Marine Limited sebagai syarikat yang memindahkan wang dari projek LCS, juga membuat penemuan-penemuan bukti baharu.

“Alizes Marine Limited dicadangkan untuk menjadi pembekal atas alasan ia sebuah syarikat pembekal pertahanan dari Perancis (menggunakan Alizes Marine France).

“Pengurusan projek LCS dimaklumkan bahawa Alizes Marine France mempunyai lesen eksport sedunia (global export license) yang memberi kelebihan kepadanya untuk membekalkan alat-alat ganti pertahanan. Pengurusan projek LCS melantik Alizes Marine atas pertimbangan ia mempunyai lesen eksport sedunia.

“Maklumat itu sebenarnya palsu kerana Alizes Marine Limited tidak mempunyai sebarang lesen, sebaliknya hanyalah sebuah syarikat pesisir luar pantai tanpa operasi.

“Walaupun projek LCS menerima invois yang nampak seperti datang dari Alizes Marine France, bayaran-bayaran sebenarnya dibuat akaun di Singapura yang dimiliki sebuah lagi syarikat lain yang menggunakan nama Alizes Marine Limited (hampir sama tetapi berlainan),” katanya. – Malaysiapost

Komen