Dana RM42 juta jelas masuk ke akaun peribadi Najib

Dana RM42 juta jelas masuk ke akaun peribadi Najib

JEJAK aliran wang jelas menunjukkan dana RM42 juta daripada akaun Ambank milik SRC International Sdn Bhd dipindah masuk ke dalam akaun peribadi milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram, berkata sebelum wang itu masuk ke dalam akaun Najib ia dipindah masuk terlebih dulu ke dalam dua akaun bank anak syarikat SRC International iaitu Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB) dan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), lapor Harian Metro.

Menurutnya, penyata bank jelas menunjukkan wang dana RM42 juta dimasukkan ke dalam dua akaun milik Najib.

“Perayu tidak membuat sebarang tindakan, laporan atau aduan berhubung kemasukan wang itu.

“Pergerakan RM42 juta daripada SRC melalui GMSB dan IPSB tidak memberi sebarang perbezaan kepada fakta bahawa ia adalah dana SRC yang dialihkan ke akaun peribadi perayu.

“Perlu ditegaskan bahawa hanya kerana dana SRC melalui GMSB dan IPSB, ini tidak bermakna syarikat pelaburan itu melepaskan diri daripada dana tersebut.

“Hakim yang arif (Mahkamah Tinggi) mendapati ini adalah fiksyen undang-undang dan tidak boleh dipertahankan.

“Satu-satunya sebab logik ia dilakukan sedemikian adalah untuk mengelakkan kegiatan itu dikesan,” katanya di Mahkamah Persekutuan, hari ini.

Sithambaram berhujah ketika dalam rayuan akhir Najib bagi kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya.

Panel turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.

Menurutnya, keterangan saksi bahawa wang itu bukan milik IPSB tetapi sebaliknya digunakan sebagai saluran untuk pemindahan dana ke akaun perayu yang tidak didedahkan.

“Fakta bahawa saksi itu diminta memindahkan dana kepada penerima yang tidak didedahkan lebih mengesahkan bahawa tujuan pemindahan itu adalah untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Pembelaan perayu bahawa beliau tidak mengetahui sumber dana itu adalah pembohongan yang disengajakan. Bukti menunjukkan bahawa perayu tahu wang RM42 juta itu datang daripada SRC dan masuk ke dalam akaun banknya.

“Perayu juga menggunakan dana RM42 juta ini untuk kegunaannya sendiri. Perayu diamanahkan dengan harta SRC dan beliau mempunyai kuasa terhadap semua ahli lembaga pengarah yang juga dilantik oleh dirinya. Malah ahli lembaga pengarah SRC sendiri mengakui mereka mengikut arahan perayu,” katanya.

Sithambaran berhujah bahawa daripada mula SRC International ditubuhkan sehingga kemasukan dana RM42 juta ke dalam akaunnya, perayu mempunyai pengetahuan berhubung harta yang diamanahkan terhadapnya.

“Perayu dengan sengaja menaikkan dirinya sebagai Penasihat Emeritus SRC berdasarkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

“Semua tindakan perayu dengan pelbagai jawatan yang dipegang adalah untuk mencapai hasrat peribadinya dan menyebabkan kerugian kepada SRC,” katanya. – Malaysiapost

Komen