Islam tegah aktiviti ‘scammer’, ambil harta orang secara batil

Islam tegah aktiviti ‘scammer’, ambil harta orang secara batil

INDIVIDU yang melakukan aktiviti sindiket penipuan atas talian atau ‘scammer’ tergolong dalam perbuatan mengambil harta dan merampas hak orang lain dengan cara yang batil dan haram.

Justeru, umat Islam dilarang melakukan perkara tersebut kerana akan membawa kesan buruk yang besar kepada kehidupan seluruh masyarakat.

Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertajuk ‘Lindungi Harta, Awasi Scammer’, yang menjelaskan bahawa memelihara harta adalah salah satu daripada Maqasid As-Syariah, dan perbuatan mengambil harta dan merampas hak orang lain adalah batil dan haram serta berdosa dan sangat dilarang melakukannya.

Perbuatan tersebut akan mengancam keharmonian dan pastinya akan membawa mudarat yang besar dalam kehidupan umat Islam dan seluruh masyarakat.

Allah SWT menegaskan perkara ini menerusi firman-Nya dalam surah an-Nisa’, ayat 29 bermaksud: “Wahai orang-orang-orang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.”

Mengambil harta orang lain dengan cara yang batil seperti mencuri, merompak, menipu, memperdaya, judi dan salah satu yang semakin menjadi-jadi adalah penipuan melalui siber atau scammer.

Kemajuan teknologi maklumat disalah guna untuk melakukan jenayah penipuan dalam talian semakin berleluasa dan telah memperdaya ramai mangsa.

Penjenayah yang dikenali sebagai scammer berniat jahat merampas harta dan wang milik mangsa dengan cara memujuk, menipu, menakut-nakutkan, memperdaya dan memeras ugut mangsa-mangsa tersebut. Paling meresahkan dan menyedihkan apabila kebanyakan penjenayah yang telah ditangkap terdiri dalam dalam kalangan orang Islam sendiri.

Bukanlah sikap orang muslim itu menzalimi dan menipu orang lain sebagaimana hadis riwayat Imam al-Bukhari, daripada Abdullah bin Umar Radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah SAW bersabda: Bermaksud: “Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lain, dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya untuk disakiti. Siapa yang membantu keperluan saudaranya, Maka Allah Akan Menunaikan Hajatnya.”

Kita mestilah mengambil peduli mengenai bentuk-bentuk jenayah dalam talian seperti macau scam, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud, love scam atau parcel scam dan jenayah (e-dagang).

Wujud juga jenayah dalam bentuk penipuan panggilan seperti, kononnya mereka melakukan penculikan ahli keluarga kita untuk meminta wang tebusan, penipuan cabutan bertuah dan penipuan memenangi peraduan atau percutian. Apa yang membimbangkan ialah, kes-kes jenayah dalam talian ini semakin meningkat saban tahun.

Bagi tahun 2022 sahaja, sehingga Julai lalu, jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan ialah sebanyak 13,137 kes. Manakala jumlah tangkapan adalah sebanyak 6,947 kes. Jumlah keseluruhan kerugian yang dicatatkan ialah melebihi RM427 juta adalah sangat menakutkan.

Modus operandi penjenayah ini sentiasa berubah. Mereka sangat licik melakukan penyamaran sebagai ahli keluarga, sahabat handai, orang kenamaan dan sebagainya sehingga menjadikan mangsa percaya dan terpedaya dengan pujukan mereka.

Malah, mereka juga menyamar sebagai pihak berkuasa seperti polis, pegawai pencegahan rasuah, pegawai kastam, wakil mahkamah, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri, pegawai bank dan lain-lain untuk mengugut mangsa supaya melakukan tindakan yang mereka suruh.

Antara punca yang menyebabkan mangsa mudah terpedaya ialah penjenayah ini dapat menyebut identiti mangsa dengan tepat. Mangsa juga langsung tidak diberi ruang masa untuk berkomunikasi dengan orang lain.

Selain itu, mangsa juga diugut akan ditangkap, dituduh, direman dan dikenakan tindakan dibawah akta pengubahan wang haram (AMLA) yang menjadikan mangsa berasa takut sehingga sanggup mengikut arahan yang diberikan penjenayah.

Oleh itu, sekiranya kita menerima panggilan yang sedemikian, janganlah panik dan teragak-agak untuk menamatkan panggilan tersebut. Buatlah catitan maklumat dan maklumkan perkara tersebut kepada ahli keluarga supaya mereka dapat membantu kita untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dan laporkanlah segera kepada pihak berkuasa.

Kita mesti mengambil tahu bahawa apa-apa urusan lebih-lebih lagi yang melibatkan urusan rasmi kerajaan seperti urusan mahkamah, ianya sama sekali tidak akan dilakukan secara dalam talian sahaja sebaliknya perlu dijalankan secara bersemuka apatah lagi jika melibatkan urusan seperti pembekuan aset.

Rujuklah agensi atau pihak berkaitan secara terus sebelum melakukan apa-apa tindakan. Sekiranya kita melalui situasi ini, janganlah bertindak melulu dan bersendirian, berkongsilah dengan ahli keluarga atau mereka yang boleh memberikan nasihat terbaik untuk kita mengambil tindakan yang bijak.

Jangan kita sekali-kali terlibat dengan aktiviti jenayah di dalam talian ini antaranya dengan bersubahat atau dipergunakan, menjadikan akaun bank kita sebagai akaun keldai yang digunakan oleh orang lain tanpa disedari ataupun secara sukarela oleh pemilik akaun bagi mendapatkan habuan mahu pun dengan cara penipuan untuk transaksi kewangan yang tidak sah atau menyalahi peruntukan undang-undang. – Malaysiapost

Komen