Jangan burukkan kredibiliti PAC – Kah Woh

Jangan burukkan kredibiliti PAC – Kah Woh

PENGERUSI Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh membidas kenyataan Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menuduh jawatankuasa itu dipergunakan untuk menyerang Umno dan Barisan Nasional (BN).

Kah Woh turut meminta Nur Jazlan yang juga Timbalan Pengerusi Umno Johor, supaya tidak cuba memburukkan kredibiliti PAC sebagai modal politik.

“Bekas Pengerusi PAC (Nur Jazlan) menuduh PAC yang dipengerusikan oleh saya dipergunakan bagi mencari modal politik baharu untuk serang Umno dan BN.

“Bukan sekali saya telah menjawab tuduhan dan tohmahan sebegitu dan jangan cuba memburukkan kredibiliti PAC. Kamu nak cari jalan keluar politik, ia tidak ada kena mengena dengan PAC dan jangan sentuh PAC.

“PAC adalah bebas, jangan cuba cabar kredibiliti PAC,” katanya menerusi Facebooknya.

Kah Woh berkata, PAC tidak membuat laporan mengikut perasaan sendiri dan laporan tersebut berpandukan keterangan dan fakta.

Jelasnya, laporan PAC merupakan hasil konsensus kesemua ahli-ahli PAC.

“Yang duduk dalam PAC, dari kedua-dua blok Parlimen dan semua satu hati, hendak memastikan wang rakyat dilindungi,” katanya.

Beliau berkata, Nur Jazlan menyatakan beliau seorang akauntan profesional lulusan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) serta amat arif tentang tata cara dan prosedur dalam setiap pelaporan penemuan yang dibuat oleh PAC.

“Beliau menggelar saya tidak mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan dan juga dalam korporat mahupun pengauditan antarabangsa.

“Nur Jazlan juga menyatakan jawatankuasa yang dipimpin oleh saya tidak mempunyai pengalaman yang sama selain hanya menjadi politikus.

“Mungkin Nur Jazlan merasakan beliau lebih arif daripada sesiapa pun yang pernah duduk dalam PAC dan saya menghormati pandangan beliau,” katanya.

Semalam, media melaporkan Nur Jazlan mendakwa, Pakatan Harapan (PH) menggunakan PAC sebagai modal politik menerusi Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur dari DAP.

Nur Jazlan mendakwa kontroversi isu berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak lain tidak bukan hanya permainan politik PH memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin dekat. – Malaysiapost

Komen