‘Najib ada musuh dalam dan luar kerajaan’ – Shabery Cheek

‘Najib ada musuh dalam dan luar kerajaan’ – Shabery Cheek

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberi peringatan kepada pihak tertentu yang mahu melihat Datuk Seri Najib Razak dihukum supaya berfikir semasak-masaknya.

Tanpa menamakan mana-mana individu, beliau berkata, pihak berkenaan seharusnya melihat kepada kes pemenjaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Orang yang mengharapkan mereka lebih kuat apabila DSAI (Anwar) dihukum dulu, hasilnya tak seperti yang diharapkan.

“(Justeru) orang yang mengharapkan akan menjadi lebih kuat apabila DSNR (Najib) dihukum juga harus berfikir berkali-kali,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery turut mendedahkan bahawa Najib Razak kini berdepan dengan ramai musuh termasuk dalam kerajaan dan luar kerajaan.

“Keputusan mahkamah dan kesan politik dua perkara yang berbeza. Musuh Najib ada di mana-mana. Di luar kerajaan dan juga ada dalam kerajaan.

“Mahkamah melihat dan mendengar apa yang dibenarkan dibentangkan kepada mereka. Politik mengenai perasaan dan emosi di luar skop kerja para hakim,” katanya.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib. – Malaysiapost

Komen