PRO, jurusolek gagal batal saman Siti Nordiana

PRO, jurusolek gagal batal saman Siti Nordiana

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan dua individu untuk membatalkan saman fitnah yang difailkan penyanyi, Siti Nordiana Alias, Julai tahun lalu.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua defendan, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 42, untuk membayar kos sebanyak RM3,000, lapor Utusan Online.

Perkara itu dimaklumkan peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana selepas tamat prosiding yang dijalankan secara Zoom.

Menurut peguam itu, mahkamah menolak permohonan itu atas alasan antaranya terdapat asas fitnah dalam pernyataan tuntutan plaintif.

“Mahkamah seterusnya menetapkan tarikh pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Leong Wai Hong pada 27 September ini,” katanya.

Dalam prosiding hari ini, Sam Musyadzafar yang merupakan defendan keempat diwakili peguam Zeti Zulfah Zulkifli @ Hassan dan Razidah yang dinamakan sebagai defendan kelima diwakili peguam Muhammad Aliff Haiqal Roslan.

Kedua-dua defendan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 15 Februari lalu. Mereka juga memohon untuk memadamkan beberapa perenggan dalam penyataan tuntutan Siti Nordiana.

Awal tahun ini, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kedua-dua individu untuk memindahkan prosiding perbicaraan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Selain Sam Musyadzafar dan Razidah, Siti Nordiana turut memfailkan saman terhadap Lan Solo, atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36, isterinya Nur Sheila Hassim, 36 dan Zuraidah Badron, 35, atau lebih dikenali sebagai Syura selaku defendan pertama sehingga ketiga.

Pada Julai 2021, Siti Nordiana, 37, atau lebih dikenali sebagai Nana memfailkan saman RM2.5 juta terhadap lima individu itu atas dakwaan memfitnahnya dalam laman sosial Instagram.

Kenyataan berbaur fitnah itu didakwa telah membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.

Kejadian itu berlaku pada 20 Julai tahun lalu, melalui siaran langsung yang dikendalikan oleh Nur Sheila dan disertai empat defendan lain menerusi akaun Instagram masing-masing. – Malaysiapost

Komen