Rafizi garis tiga ‘taktik perang’ hadapi PRU15

Rafizi garis tiga ‘taktik perang’ hadapi PRU15

TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli menggariskan tiga taktik utama dalam misi membawa parti itu dan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu, berkata tiga perkara yang perlu diberi keutamaan itu termasuk pengolahan isu yang berkesan untuk menarik minat dan meyakinkan pengundi.

Selain itu, katanya, strategi mewujudkan gelombang kempen dengan menggerakkan jentera dan sukarelawan juga perlu diutamakan.

“Malah, keperluan menguasai kempen digital dengan penghasilan kandungan media sosial yang bermutu secara tersusun.

“Setakat beberapa bulan yang lepas, saya telah memberi perhatian untuk mengolah kembali isu-isu nasional supaya PKR dan Pakatan Harapan mengambil pendekatan lebih proaktif,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Rafizi juga menegur sikap PKR dan PH yang dilihat terlalu defensif sehingga membiarkan jentera propaganda Umno memutar belit banyak perkara.

Katanya, beliau juga akan memberi tumpuan untuk meningkatkan kehadiran dan capaian parti itu di media sosial termasuk misi ‘memotong’ capaian media sosial Datuk Seri Najib Razak.

“Prestasi capaian media sosial PKRterus dipantau oleh Pengarah Komunikasi, Lee Chean Chung. Kami yakin capaian media sosial PKR akan memotong capaian Najib Razak dalam tempoh beberapa minggu lagi.

“Perkembangan-perkembangan baik ini (dari segi pengolahan isu dan capaian media sosial) kini membolehkan saya memberi tumpuan kepada taktik seterusnya, iaitu mewujudkan gelombang kempen di peringkat lapangan,” katanya.

Beliau berkata, pasukannya juga akan memulakan kempen trak dan Ceramah trak #AyuhMalaysia bermula esok.

“Trak #AyuhMalaysia akan menjelajah ke seluruh negara setiap minggu dan akan turut singgah di kawasan-kawasan pedalaman dan FELDA, seperti yang dilakukan dalam kempen pilihan raya lepas.

“Saya juga akan melatih sendiri Ejen Tempat dan Kira Undi (PACA) yang merupakan komponen penting untuk menang pilihanraya,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, beliau menyeru rakyat Malaysia yang mahu memperbaiki keadaan negara dan masyarakat menyertai dalam kempen berkenaan bermula esok. – Malaysiapost

Komen