Seorang penghuni pusat pemulihan maut disyaki dipukul warden

Seorang penghuni pusat pemulihan maut disyaki dipukul warden

SEORANG penghuni pusat pemulihan dadah di Padang Rengas, Perak maut dipercayai dipukul warden selepas dikatakan mengamuk apabila cubaan mangsa untuk melarikan diri dari pusat itu gagal.

Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang doktor di Hospital Kuala Kangsar.

Katanya, doktor itu memaklumkan menerima seorang pesakit dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta yang kemudiannya disahkan meninggal dunia.

“Mangsa dibawa ke hospital oleh seorang ustaz dan tiga orang warden daripada pusat pemulihan berkenaan pada pukul 8.10 malam kelmarin.

“Mangsa difahamkan tidak sedarkan diri sejak pukul 7 malam. Pemeriksaan x-ray yang dijalankan mendapati terdapat kesan luka di dahi selain lebam di muka, mata kiri, dada, kedua-dua kaki dan tangan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azizi berkata, berdasarkan temu bual awal dengan pengasas pusat pemulihan itu, mangsa dikatakan bercakap seorang diri dan cuba melarikan diri dari pusat berkenaan sekitar pukul 1.45 petang hari sama.

Katanya, mangsa yang berjaya ditangkap bertindak mengamuk dan cuba mencederakan seorang warden dengan menggunakan sebilah pisau.

“Mangsa berjaya ditangkap dan ditenangkan selepas berlaku pergelutan dengan cara warden beberapa kali menumbuk pada bahagian badan mangsa,” katanya.

Katanya, lelaki itu bagaimanapun sekali lagi cuba melarikan diri di mana dia terjun dari tepi tangga tingkat satu bangunan pada ketinggian lebih kurang lapan meter.

Beliau berkata, mangsa yang ditangkap semula ditempatkan di dalam bilik tetamu dengan diikat kaki dan tangan menggunakan kain untuk mengelakkan lelaki itu mengamuk dan melarikan diri.

“Ketika berada di dalam bilik itu mangsa dikatakan menghentak kepalanya beberapa kali di lantai dan dinding sehingga berdarah.

“Warden yang memeriksa mangsa pada pukul 7.45 malam mendapati lelaki itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terus dibawa ke Hospital Kuala Kangsar,” katanya.

Sementara itu, hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa hari ini mendapati punca kematian akibat kecederaan parah pada bahagian dada serta otot-otot dan tisu badan disebabkan trauma tumpul.

“Susulan kejadian itu, kita telah menahan seorang ustaz dan tiga warden untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – Malaysiapost

Komen