Serangan siber terhadap ketua hakim, pihak berkuasa perlu segera bertindak

Serangan siber terhadap ketua hakim, pihak berkuasa perlu segera bertindak

PIHAK berkuasa digesa bertindak segera ke atas mana-mana individu yang membuat serangan ‘siber’ dengan mengkritik termasuk memberi ugutan terhadap Ketua Hakim Negara berhubung kes Datuk Seri Najib Razak berkaitan SRC International Sdn Bhd.

Menurut Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Kamil Munim, beberapa serangan telah dilakukan sejak semalam oleh tentera siber upahan untuk terus menyerang ketua hakim dan institusi kehakiman.

“Ia bukan sekadar kritikan biasa namun disulami ugutan yang jelas memerlukan campur tangan pihak berkuasa bagi melindungi keselamatan Ketua Hakim dan institusi kehakiman itu sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamil berkata, sandiwara Najib tidak wajar dijadikan modal bagi penyokong beliau untuk terus menyerang institusi kehakiman.

“Hak Najib untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan saksama tidak pernah dinafikan sama sekali.

“Tetapi percubaan untuk mengheret semua pihak termasuk mahkamah dan sistem keadilan untuk mengikut rentak dan kehendak pihak tertentu adalah sesuatu yang melampau dan tidak menghormati sistem keadilan dan institusi kehakiman.

“Justeru, pihak berkuasa digesa untuk mengambil tindakan segera keatas mana-mana individu yang secara nyata membuat ugutan terhadap Ketua Hakim dan institusi kehakiman,” katanya. – Malaysiapost

Komen