‘Sukar dipercayai mahkamah tertinggi nafikan hak Najib’ – Zaid

‘Sukar dipercayai mahkamah tertinggi nafikan hak Najib’ – Zaid

DATUK Mohd Zaid Ibrahim mengesahkan keputusan bekas Perdana Menteri Datuk Seri untuk memberhentikan khidmat firma guamanya Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook, berkata keputusan Najib untuk memberhentikan firma guamnya mendapat sokongan dan persetujuan penuh daripada beliau.

Katanya, keputusan itu dibuat atas kepercayaan bahawa pasukan peguam bela beliau tidak lagi boleh memberikan sebarang khidmat yang berguna dalam pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Najib percaya bahawa andaian lazim mahkamah adalah penyusunan semula pasukan pembelaan pada akhir bulan lalu adalah sebahagian daripada muslihat taktikal untuk menyekat dan melengahkan prosiding atau melambatkan keputusan akhir dan hukuman yang akan dijatuhkan.

“Sebagai seorang ahli politik sendiri, saya boleh sahkan bahawa andaian itu adalah jauh daripada kebenarannya,” katanya dalam hantaran itu hari ini.

Mohd Zaid Ibrahim turut menyuarakan rasa kesal disebalik usaha terbaik peguam utama, Hisyam Teh Poh Teik dan peguam pasukan firmanya yang kedua-kedua dari Kuala Lumpur serta Singapura, dinafikan Mahkamah Persekutuan.

Katanya, keputusan mahkamah menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru adalah sukar dipercayai.

“Kami percaya bahawa permohonan itu berasas dan sangat menarik. Malangnya, mahkamah dalam kebijaksanaannya tidak fikir begitu.

“Adalah sukar dipercayai bahawa mahkamah tertinggi di negara ini akan menafikan hak Najib untuk mengemukakan bahan yang relevan dan bukti yang diperlukan untuk memastikan kebenaran dan keadilan ditegakkan,” katanya lagi.

Sebelum ini, bekas perdana menteri itu memberhentikan Tetuan Shafee & Co yang mewakilinya dalam kes SRC International sejak 4 Julai 2018, dengan serta-merta, melantik firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (“ZIST”) sebagai peguam cara baharu akhir Julai lalu.

Bagaimanapun, tidak sampai sebulan, firma guaman Mohd Zaid telah diberhentikan sebagai peguam mewakili Najib hari ini. – Malaysiapost

Komen