‘Zahidi yang patut buat pemeriksaan mental’ – Guan Eng

‘Zahidi yang patut buat pemeriksaan mental’ – Guan Eng

PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng menyarankan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin supaya membuat saringan kesihatan mental kerana didakwa kerap melakukan serangan peribadi terhadap wanita muda.

Guan Eng berkata demikian merujuk kenyataan Zahidi terhadap wartawan penyiaran Bernama TV Sydney Yap Xi Ni yang sebelum ini mengetengahkan aduan isu pemotongan gaji dan masalah dalaman lain di cabang TV agensi berita itu.

Menurut Guan Eng, Zahidi mempunyai hak untuk mempertahankan dasar kerajaan namun tidak ada sebab untuk beliau membuat serangan yang tidak wajar dan tidak berasas terhadap Sydney.

“Adakah dengan membuat serangan peribadi cubaan Zahidi untuk menutup aduan Sydney Yap Xi Ni dan mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang dibangkitkan mengenai Bernama?,” soalnya menerusi Facebook.

Semalam, media melaporkan, Zahidi mempertahankan amalan kerajaan mengambil kakitangan kontrak, termasuk dalam agensi berita nasional Bernama dan Bernama TV yang berada di bawah bidang kuasanya.

Pada masa sama, Zahidi berkata Bernama mungkin mempertimbangkan untuk ‘memeriksa kesihatan’ Sydney yang sebelum ini mengetengahkan aduan isu pemotongan gaji dan masalah dalaman lain di cabang TV agensi berita itu.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, ini bukan kali pertama Zahidi dilaporkan melakukan serangan peribadi terhadap wanita muda yang membuat aduan mengenai kekurangan dan kelemahan kerajaan.

“Sebelum ini pada 2020, beliau menyerang seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah, Veveonah Mosibin dari Pitas, Sabah, kerana membangkitkan keadaan infrastruktur digital dan rangkaian yang lemah di kawasan luar bandar di Sabah,” katanya.

Guan Eng dalam nada sindiran berkata, Zahidi perlu sedar bahawa dalam Perlembagaan Persekutuan kelayakan seseorang Ahli Parlimen dan Senator akan terlucut sekiranya disahkan kurang siuman.

“Jadi, Zahidi sepatutnya buat pemeriksaan kesihatan mental sendiri kerana terus melakukan serangan peribadi terhadap wanita muda yang berani mengadu tentang kegagalan dasar dan kelemahan kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

Komen