Tan Hong Ming, Ummi Khazriena bersatu semula untuk Merdeka ke-65

Tan Hong Ming, Ummi Khazriena bersatu semula untuk Merdeka ke-65

ADAKAH anda masih ingat iklan sempena bulan kemerdekaan Malaysia gandingan dua watak cilik Ummi Khazriena dan Tan Hong Ming, 15 tahun dahulu?

Untuk sambutan tahun ini, dua watak tersebut sekali lagi digandingkan bagi Hari Kemerdekaan Malaysia ke-65.

Mengimbau tahun 2007, iklan arahan pengarah terkenal, Allahyarham Yasmin Ahmad menjadi fenomena apabila filem pendek “Tan Hong Ming in love” itu berjaya menyampaikan mesej keharmonian kaum dalam kalangan rakyat sehingga hari ini.

Ia dirakam untuk sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-50 ketika mereka masing-masing berada dalam Tahun Satu di sebuah sekolah di Taman Tun Dr Ismail di ibu negara.

Ummi Khazriena dan Hong Ming baru-baru ini bersatu semula bagi membintangi iklan baharu untuk sambutan hari kemerdekaan Malaysia yang ke-65.

Video iklan bertajuk “Ummi & Tan Hong Ming: Mengenang Yasmin Ahmad” dihasilkan sebuah jenama tempatan Lokalteez, dan diarahkan penulis skrip SlenFadzil.

Dalam video berdurasi lapan minit itu, Ummi Khazriena dan Hong Ming berkongsi perkembangan terkini kehidupan mereka dan mengimbau kembali detik-detik bersama Allahyarham Yasmin.

Katanya, kali terakhir mereka berdua bertemu pada 2017 untuk satu sesi temubual.

Terkini Ummi Khazriena bekerja sebagai eksekutif pengurusan bangunan, manakala Hong Ming sedang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi. – Malaysiapost

Komen