Bersih kurang ajar cuba tekan Agong- Zaid

Bersih kurang ajar cuba tekan Agong- Zaid

PEGUAM Datuk Seri Najib Razak, Datuk Zaid Ibrahim menyifatkan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) kurang ajar kerana mendesak Yang di-Pertuan Agong agar tidak memberi pengampunan diraja kepada bekas Perdana Menteri itu.

Beliau berkata, Bersih cuba memberi tekanan kepada Yang di-Pertuan Agong agar mengikut kehendak mereka sekali gus tidak menghormati kuasa yang dimiliki Seri Paduka Baginda.

“Ada kumpulan di luar sana dah mula buat petisyen dah. Supaya Tuanku jangan ampun Najib Razak. Kurang ajar ni, Tuanku tahulah apa nak buat. Mengikut budi bicara… janganlah kamu mengajar pula, jadi kamu ni siapa? Saya rasa ini terlalu melampau.

“Tuanku nak ampun ke, tak nak ampun ke kita hormat sudahlah… itu kuasa raja. Ini bukan nak mempengaruhi, tapi ini satu tekanan.

“Inilah masalah negara kita, dia suka tekan apa yang dia tak setuju. Menggunakan ‘bom’ seolah-olah undang-undang ni dikemudian. Proses ni kemudian. Dia hendak ikut kehendak dia,” katanya kepada Malaysiapost.

Menjelaskan mengenainya, Zaid berkata, pengampunan itu adalah hak peribadi Yang di-Pertuan Agong dan Bersih tidak wajar seolah-olah cuba mengajar Seri Paduka Baginda mengenainya.

Bagaimanapun bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu menegaskan, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membatalkan hukuman dijatuhi ke atas Najib, namun cukup untuk memberi pengampunan berdasarkan ketidakadilan yang diterima ketika proses perbicaraan dijalankan.

“Pengampunan itu adalah perkara peribadi dan terpulang kepada Tuanku. Saya haraplah unsur-unsur ketidakadilan yang dialami oleh Najib ini dapat diambil kira oleh Tuanku.

“Maksudnya dalam proses perbicaraan. Baginda tak boleh batalkan hukuman, tak payah batal. Cukup pengampunan saja. Ya lah kita pengampunan orang ni kerana banyal sebab. Tapi itu peribadi kepada Yang di Pertuan Agong,” katanya.

Baru-baru ini, Bersih melancarkan petisyen secara atas talian memohon agar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak memperkenan pengampunan diraja kepada Najib.

Dalam petisyen tersebut, Bersih memaklumkan Najib melakukan jenayah terhadap rakyat Malaysia ketika beliau menjawat jawatan sebagai perdana menteri dan perlu menjalani hukumannya sehingga selesai.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International oleh Mahkamah Tinggi.

Susulan itu, beliau akan menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta selain menjadi bekas perdana menteri Malaysia yang pertama dipenjarakan. – Malaysiapost

Komen