Isu LCS: Rafizi akan dipanggil polis

Isu LCS: Rafizi akan dipanggil polis

POLIS akan memanggil Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam masa terdekat ini berhubung dakwaan fitnah isu berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS).

Ini susulan kenyataan Rafizi didakwa memfitnah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Haji Abdul Latiff Ahmad dalam blog rafiziramli.com berhubung kononnya Abdul Latiff mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak jutaan ringgit dengan Kementerian Pertahanan untuk projek LCS.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 9.28 malam, semalam daripada pengadu berusia 30 tahun yang merupakan pegawai tugas-tugas khas kepada Abdul Latiff.

Katanya, siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada pukul 12 tengah hari pada 22 Ogos lalu ketika pengadu berada Residensi Harmoni, Segambut telah terbaca satu posting di blog Rafizi yang mengandungi pembohongan dengan tujuan untuk merosakkan nama baik Abdul Latiff.

“Pengadu menafikan dakwaan bahawa YB Datuk Latiff mempunyai seorang isteri kedua yang mendapat kontrak pertahanan yang bernilai puluhan juta ringgit melibatkan LCS semasa beliau menjadi Timbalan Menteri.

“Hasil semakan polis mendapati kenyataan berkenaan telah disiarkan di laman web rafiziramli.com, di laman Facebook Rafizi dan di laman Twitter miliknya selain dua video yang berkaitan telah disiarkan melalui akaun TikTok dan Instagram,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Susulan itu, pihaknya membuka siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan  kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 atas menyebarkan kenyataan jelik.

Jelas beliau, akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang artikel yang boleh menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan masyarakat,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan insiden ini boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Baldev Singh A/L Gurdial Singh di talian 012-4806062 atau Bilik Gerakan IPD Sentul. – Malaysiapost

Komen